20 April 2016

Senarai calon BN lengkap


Adenan umum Ding, Henry Jinep dan Dr Penguang dicalon masing-masing di Meradong, Tasik Biru dan Marudi
C_PC0012812// Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Barisan Nasional (BN) melengkapkan senarai calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) menerusi pengumuman baki tiga calon oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam.

Seperti dijangka, tiga calon terakhir BN yang diumumkan semalam ialah Ding Kuong Hiing dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Henry Harry Jinep dan Datu Dr Penguang Manggil masing-masing dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Ding yang sebelum ini pernah menyandang kerusi Parlimen Sarikei akan bertanding di N.46 Meradong, manakala Henry seorang ahli perniagaan dan Dr Penguang, bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan, masing-masing akan bertanding di kerusi N.2 Tasik Biru dan N.72 Marudi.

“Perkara mengenai tiga calon terakhir BN telah diselesaikan antara parti-parti iaitu Ding Kuong Hiing dari SUPP untuk Meradong, Dato Henry Harry Jinep dan Datu Dr Penguang Manggil dari SPDP masing-masing untuk Tasik Biru dan Marudi.

“Kami telah menyelesaikan perbezaan dan kami akan menghadapi pilihan raya ini sebagai sebuah pasukan yang bersatu,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan dengan calon BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Adenan yang juga Pengerusi BN Negeri berkata, semua calon langsung BN yang dipilih akan bertanding menggunakan lambang dacing, manakala calon-calon BN yang lain dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP, SPDP dan PBB boleh menggunakan kedua-dua lambang parti jika mereka mahu.

Dengan pengumuman tiga calon terakhir itu, BN kini sudah melengkapkan senarai kesemua 82 calon ‘Pasukan Adenan’ yang akan bertanding pada PRN11.

Daripada jumlah itu, PBB akan bertanding di 40 kerusi, SUPP (13), PRS (11), SPDP (5) manakala baki 13 lagi kerusi akan ditandingi oleh calon langsung BN.

BN turut menampilkan 28 muka baharu masing-masing 10 dari PBB, empat masing-masing dari  PRS dan SPDP, lima muka baru dari SUPP (5) dan lima lagi muka baharu melibatkan calon langsung BN.

Sepuluh muka baharu PBB terdiri daripada Fazruddin Abdul Rahman (Tupong), Datuk Idris Buang (Muara Tuang), Awla Dris (Simunjan), Gerald Rentap Jabu (Layar), Mohd Chee Kadir (Kabong), Shafiee Ahmad (Daro), Datuk Dr Juanda Jaya (Jemoreng), Allen Siden Gramong (Machan), Abdul Yakub Arbi (Balingian) dan Jefferson Amit Unyat (Bukit Goram).

Muka baharu dari PRS pula terdiri daripada Christopher Gira Sambang (Tamin), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Chukpai Ugon (Murum) dan Majang Renggie (Samalaju).

SUPP menampilkan lima muka baharu iaitu Peter Pau (Padungan), Milton Foo (Pending), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok) dan Datuk Pau Chiong Ung (Bukit Asek).

Dato Henry Harry Jinep (Tasik Biru), Kilat Briak (Krian), Roland Duat (Meluan) dan Datuk Dr Penguang Manggil (Marudi) pula adalah muka baharu daripada SPDP.

Manakala, lima muka baharu calon langsung BN ialah Miro Simuh (Serembu), John Ilus (Bukit Semuja), Datuk Janet Lau (Pelawan), Datuk Hii King Chiong (Pujut) dan Datuk Gerawat Gala (Mulu).

No comments:

Post a Comment