10 April 2016

200 kes denggi dilapor di Padawan setiap tahun


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » 200 kes denggi dilapor di Padawan setiap tahun

Utusan Borneo Online: 2016-04-10
Masyarakat harus memastikan kebersihan kawasan kediaman biarpun belum ada
kematian dilapor 
 
KUCHING: Kira-kira 200 kes denggi dilaporkan di kawasan Padawan setiap tahun tanpa kematian setakat ini. 

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang mendedahkan semalam kebanyakan kes denggi berlaku di kawasan kampung, walaupun penduduk bandar turut terdedah kepada penyakit sama. 

“Tiada kes kematian lagi. Mungkin kerana kempen kesedaran awam yang telah kami lakukan serta kemudahan hospital sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. 

“Lebih penting lagi, kita perlu membina ketahanan badan kerana denggi adalah salah satu virus yang kita boleh kawal walaupun kita tidak boleh membunuh virus itu,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Komuniti MPP di Dewan Masyarakat Cina Batu Kitang di sini. 

Kira-kira 100 murid SJK Chung Hua Batu Kitang dan SK Batu Kitang mengambil bahagian dalam program separuh hari itu. 

Lo berkata, kes demam denggi berlaku sepanjang tahun, justeru masyarakat boleh membantu menurunkan jumlah kes dengan mengekalkan kebersihan persekitaran kediaman. 

“Musnahkan air bertakung kerana ini adalah tempat pembiakan nyamuk aedes. Kita mesti menjaga kebersihan alam sekitar. 

“Pendidikan perlu bermula dari kecik dan kanak-kanak perlu diberi bimbingan sewajarnya kerana mereka juga boleh memainkan peranan untuk memberitahu ibu bapa mereka tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” tambahnya. 

Pada majlis itu, Pegawai Penerangan Jabatan Hal Ehwal Khas Felicia Nonima turut menyampaikan empat buah kipas meja masing-masing kepada sekolah terlibat. 

Dalam perkembangan lain, Lo yang juga Penolong Setiausaha Penerangan dan Publisiti SUPP mahu Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bersetuju dan menyokong kepimpinan semasa. 

“Saya harap semua orang bertenang dan menyokong kepimpinan di bawah Senator Datuk Dr Sim Kui Hian kerana bidang politik adalah sesuatu yang agak rumit. 

“Kita mahu melihat lebih penyatuan di dalam SUPP dan semua orang menghormati keputusan yang dibuat oleh Dr Sim. Ini harus menjadi cara kita bergerak ke hadapan,” katanya. 

Beliau mengulas mengenai gesaan campur tangan Setiausaha Agung terhadap keputusan Presiden SUPP untuk tidak bertanding di semua 19 kerusi negeri. 

Lo yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi baharu Batu Kitang berpendapat tidak ada perkara yang muktamad sambil menegaskan pemimpin dan anggota parti harus bersatu. 

“Kami bersatu untuk memperkukuhkan parti berbanding melakukan perkara lain yang boleh memusnahkan parti,” jelasnya. 

Ditanya sama ada beliau akan bersetuju dengan Naib Presiden Datuk Lily Yong yang mencadangkan mesyuarat CWC untuk membincangkan antara lain isu 19 kerusi, Lo berkata: “Saya tidak boleh memberi komen kerana sebagai ahli CWC yang bertanggungjawab, kita perlu percaya Dr Sim dan kepimpinan beliau,” kata Lo. 

“Saya lebih bimbang tentang hidup keseluruhan SUPP serta kesejahteraan seluruh masyarakat Cina. Kita tidak boleh berpecah belah,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment