Lo Khere Chiang mempunyai cara sendiri untuk mendekati pengundi
Beliau memulakan kempen pilihan rayanya malam kelmarin menerusi penganjuran forum belia bertajuk ‘Fikirkan Masa Depan’ dengan harapan dapat berkongsi kebimbangan golongan itu.
Program dua dalam satu itu, ceramah dan forum yang bermula sekitar jam 8 malam diadakan di Trinity Hub, Jalan Datuk Tawi Sli agak hambar dari segi kehadiran belia seperti yang diharapkan.
Mungkin ia yang pertama diadakan atau petanda Lo perlu bekerja keras lagi untuk ‘mempromosikan’ dirinya kepada pengundi di kerusi baharu itu memandang beliau merupakan muka baharu dalam arena politik di Sarawak khasnya.
Ini juga menunjukkan memegang jawatan pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) ketika ini bukan jaminan untuknya mendapat tempat di hati pengundi lebih-lebih lagi kerusi itu bakal menyaksikan pertarungan lima penjuru.
Lo akan berdepan pencabar-pencabar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Voon Shiak Ni, Abdul Aziz Isa (Parti Tindakan Demokratik), Sulaiman Kadir dan Datuk Seri Othman Bojeng masing-masing Bebas.
Meskipun begitu Lo berkata menerusi forum beliau sekurang-kurangnya tahu perkara yang menjadi kebimbangan belia ketika ini iaitu peluang pekerjaan dan pendapatan.
“Ini adalah cara yang bagus untuk bekerja dengan belia dan mungkin membolehkan belia berasa ‘dimiliki’ dalam komuniti menerusi pandangan mereka mengenai apa yang diinginkan untuk masa depan.
“Saya berharap menerusi cara ini, kita boleh bekerjasama menjadikan Batu Kitang yang lebih baik untuk golongan ini khasnya dan rakyat di sini amnya,” kata Lo.
Forum itu diselitkan dengan aktiviti-aktiviti sampingan seperti persembahan pentas oleh artis belia tempatan dan kuiz mudah yang menawarkan hadiah berupa hamper kepada pemenang.
Sementara itu, Santy Ragus, 28, yang ditemui di lokasi ceramah berkata topik dibincangkan pada forum itu memang bagus, bertepatan dengan situasi ketika ini.
Namun beliau percaya ia kurang mendapat sambutan belia Bumiputera kerana hampir 70 peratus forum itu dikendalikan dalam bahasa Cina.
No comments:
Post a Comment