07 April 2016


Batu Kitang Diyakini Mampu Dimenangi BN-SUPP


KUCHING: Meskipun mempunyai hanya 40 peratus pengundi Bumiputera namun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang diyakini membawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Negeri ini. 

Calon BN di Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata beliau tidak menafikan untuk menjadi calon di kawasan itu merupakan satu tanggungjawab besar kepada dirinya sebagai calon baharu bagi kerusi baharu. 

“Saya tahu ia agak berat dan besar tanggungjawab untuk kerusi ini kerana banyak jangkaan daripada semua, sama ada kabinet mahupun rakyat agar kerusi dapat diberi kepada BN nanti. 

“Ini kerusi baharu dan saya juga calon baharu… saya akan bekerja gigih untuk ini serta yakin bahawa rakyat akan memberi sokongan kepada SUPP dan BN di Batu Kitang sekali gus kepada kepimpinan Ketua Menteri,” katanya. 

Jelas beliau, Batu Kitang yang mempunyai kira-kira 17,000 pengundi terdiri daripada 40 peratus adalah Bumiputera sementara 60 peratus adalah Cina. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sidang media pengumuman calon SUPP oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam. 

Lo antara 10 nama calon SUPP yang diumumkan oleh pengerusi BN Sarawak itu yang turut dihadiri Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian juga calon bagi Batu Kawa, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting (Piasau) serta beberapa calon lain. 

Menurut Lo yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), melihat kepada senario politik dua tahun lepas sejak Adenan menjadi Ketua Menteri, beliau yakin BN dapat menang di Batu Kitang. 

“Rakyat tidak banyak pilihan melainkan harus menyokong kepimpinan Adenan untuk kebaikan rakyat, ekonomi negeri, pendidikan serta budaya dan generasi muda. 

“Berlandaskan perkara itu saya menyokong kepimpinan Adenan dan akan bekerja gigih agar dapat memberi Batu Kitang kepada BN pada pilihan raya ini,” tegasnya. 

Lo, 56 tahun, dilantik menjadi pengerusi MPP pada tahun 2010 dan merupakan jurutera MPP sejak 1989 hingga 1991 sebelum dilantik sebagai ahli majlis MPP dari tahun 1992 hingga 2009. 

Beliau turut terlibat aktif dalam pelbagai pertubuhan seperti Institut Jurutera Sarawak, Per­satuan Lo Clan Kuching, Sekolah Menengah Min Lit di Batu Kawa dan Sekolah Rendah Chung Hua Batu Kawa. 

Mengenai isu yang ditekankan di Batu Kitang, Lo berkata kebanyakan isu adalah isu normal iaitu infrastruktur asas seperti jalan serta perparitan. 

“Pada saya ia bukan satu masalah yang tidak dapat diselesaikan, ini dibangkitkan kerana masyarakat kita yang semakin membangun dengan mahukan sesuatu yang lebih disebabkan taraf hidup yang meningkat. 

“Ia adalah masalah yang ada dan saya percaya jika kita menang BN menang di konstituensi ini dengan pengalaman saya sebagai jurutera, saya pasti ia membolehkan saya membantu rakyat dengan lebih baik dan menyumbang kepada kepimpinan serta pasukan Adenan,” katanya. -


Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment