06 August 2016

Lo Khere Chiang terus terajui MPP

AKU JANJI: Lo mengangkat sumpah sebagai pengerusi MPP.
AKU JANJI: Lo mengangkat sumpah sebagai pengerusi MPP.


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang dilantik semula secara rasmi sebagai pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi penggal 2016-2018.

Malah, majlis angkat sumpah kesemua 32 ahli majlis MPP turut menampilkan muka baharu bagi jawatan timbalan pengerusi yang menyaksikan Datuk Ahmad Ibrahim dilantik memegang jawatan tersebut.

Kesemua ahli majlis mengangkat sumpah di ibu pejabat MPP di sini semalam, di hadapan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Khui Hian sambil disaksi Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Senator Dr Zaiedi Suhaili, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Bakrie Zaini, Wali Kota Majlis Daerah Samarahan Datuk Peter Minos dan tetamu kehormat lain.

“Amanah dan tanggungjawab ini amat berat dan penting kerana tuan-tuan dan puan-puan (ahli majlis) adalah pemimpin kepada masyarakat di kawasan masing-masing,” kata Lo selepas majlis angkat sumpah itu.

Tegasnya lagi, semua barisan ahli majlis baharu perlu mengetahui matlamat PBT, dasar kerajaan negeri dan persekutuan kerana ia penting dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli majlis.

“Dengan adanya ilmu, perkara berat menjadi ringan dan setiap tugasan dapat dilaksanakan mengikut landasan undang-undang seperti yang keruh dapat dijernihkan, yang kusut dapat dilerai dan perbezaan pendapat ditangani secara matang,” tambahnya.

Dalam memastikan visi MPP ‘Menjadi Contoh Dalam Pembangunan Komuniti Menjelang 2020’, Lo memberitahu bahawa sebanyak lima strategi diberi tumplan.

“Lima strategi itu ialah peningkatan hasil pendapatan, tadbir urus yang baik dan kepatuhan kepada peraturan, pembabitan pemegang kepentingan, kecekapan perkhidmatan dan peningkatan modal insan,” jelasnya.

Pada masa sama beliau mendedahkan bahawa MPP turut melakukan penstrukturan semula dengan mewujudkan 29 jawatan baharu dengan sembilan daripada jawatan itu adalah dalam kumpulan profesional dan pengurusan manakala selebihnya kumpulan sokongan.

“Justeru, saya yakin MPP dapat bersama-sama dengan kerajaan negeri dan pemimpin masyarakat membawa lebih banyak pembangunan untuk rakyat demi mencapai kemajuan di kawasan ini,” ujarnya.

August 5, 2016, Friday Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment