14 August 2016

Lo agih dana RM300,000 kepada pelbagai pertubuhan Batu Kitang


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Lo agih dana RM300,000 kepada pelbagai pertubuhan Batu Kitang

Utusan Borneo Online: 2016-08-13 
 


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang semalam mengagihkan dana projek khas bernilai RM300,000 kepada wakil daripada pelbagai pertubuhan dan jawatankuasa bagi kawasan Batu Kitang. 

Pengagihan dana itu adalah yang pertama seumpamanya oleh beliau selepas memenangi kerusi baharu tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada 7 Mei lalu. 

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis penyerahan dana tersebut di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) semalam, Lo berkata agihan dana itu merupakan salah satu daripada cara kerajaan menerusi wakil rakyat yang dipilih membantu rakyat di kawasan masing-masing. 

Malah, katanya, rakyat wajar menikmati dana ini sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan untuk memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus menerajui pemerintahan. 

“Ini merupakan salah satu cara untuk kita memenangi hati rakyat amnya pengundi bagi memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya negeri mahupun umum. 

“Dan, sebagai wakil rakyat atau kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kita harus memenuhi permintaan mereka dengan salah satu daripadanya adalah agihan dana khas untuk mereka menjalankan aktiviti atau projek kemasyarakatan,” katanya. 

Tambah Lo, Ketua Menteri telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk penduduk di kawasan Batu Kitang menjalankan projek atau program-program transformasi rakyat. 

“Saya telah menerima senarai projek-projek daripada pemimpin masyarakat dan pertubuhan serta persatuan dan akan mengemukakannya kepada Ketua Menteri bagi membolehkan peruntukan ini diagihkan dengan sebaiknya nanti,” katanya. 

Terdahulu sebelum penyerahan dana tersebut, Lo yang juga Pengerusi MPP menggalakkan semua pemimpin masyarakat dan pertubuhan dalam kawasan Batu Kitang untuk menggunakan sebaiknya dana itu bagi menjalankan aktiviti yang berguna. 

Katanya, meskipun dana itu tidak mampu menyokong sepenuhnya aktiviti yang dianjurkan tetapi sedikit sebanyak ia dapat membantu dalam cara yang positif. 

Seramai 64 penerima mewakili pelbagai pertubuhan dan jawatankuasa menerima dana projek khas yang pertama daripada ADUN Batu Kitang itu pada majlis ringkas di MPP.

No comments:

Post a Comment