31 December 2016

Violet Tidak Peka Isu Di Kawasan Sendiri - Lo Khere Chiang

 

KUCHING - Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang menempelak Ahli Dewan Undangnan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong berhubung kritikan terhadapnya dan majlis mengenai isu dana bagi melaksanakan program pembangunan kawasan Padawan.
Kenyataan Violet bahawa MPP gagal dalam melaksanakan projek di kawasan seliaannya walaupun mempunyai dana hasil daripada kutipan cukai taksiran selain memperolehi peruntukan di bawah MARRIS tidak munasabah dan tidak benar sama sekali.
“Saya sangat marah dengan Violet kerana apa yang beliau cakap adalah sampah dan tidak ada fakta.
“Malah, saya juga kecewa terhadapnya kerana sebagai seorang wakil rakyat selama tiga penggal beliau langsung tidak tahu mengenai perkembangan semasa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPP di sini, semalam.
Lo yang juga ADUN Batu Kitang memberitahu Violet patut tahu bahawa Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengurangkan kadar cukai taksiran (PBT) bagi meringankan beban rakyat.
Maka itu, ia tidak memberikan hasil yang banyak, seperti difikirkan Violet kepada mana-mana PBT termasuk MPP.
Malah, beliau berkata hasil cukai taksiran dikutip oleh MPP selama ini adalah tidak mencukupi untuk digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan.
“Perkara ini sudah saya nyatakan berkali-kali tetapi mengapa Violet masih tidak tahu…bahawa cukai taksiran dikutip oleh MPP selama ini hanya mencukupi untuk membiayai kos operasi majlis sahaja.
“Jika kami mahu mengutip cukai taksiran bagi tujuan melaksana projek pembangunan, saya pasti ini akan membebankan rakyat,” katanya.
Lo turut berkata MPP sejak awal tahun ini telah melaksanakan sebanyak 259 projek kecil dan besar di dalam kawasan seliaannya dengan nilai lebih RM25 juta.
Justeru, beliau menyeru Violet supaya lebih menumpukan perhatian kepada membantu rakyat di dalam kawasannya tanpa perlu risau akan MPP.
“Kami sudah melakukan banyak pembangunan untuk semua rakyat di kawasan MPP berbanding Violet yang langsung tidak pernah melakukan apa-apa kepada rakyat di kawasannya walaupun sudah menjadi wakil rakyat selama tiga penggal,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment