16 December 2016

Parit, jalan di Batu Kitang dinaik taraf


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Parit, jalan di Batu Kitang dinaik taraf

Utusan Borneo Online:  2016-12-15
13 projek dilaksana di bawah Projek Transformasi Luar Bandar di konstituensi ini

// Oleh Nick Fletcher // 



TURUN PADANG: Lo (empat kanan) bersama yang lain meninjau lokasi projek menaik taraf perparitan di persimpangan Landeh dan Jalan Puncak Borneo. 

KUCHING: Sebanyak 13 projek menaik taraf perparitan dan jalan raya akan dilaksanakan di beberapa kawasan dalam konstituensi Batu Kitang. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, pelaksanaan kesemua projek tersebut adalah di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP). 

“Saya telah mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada kerajaan negeri untuk melaksanakan RTP pada tahun ini. 

“Maka itu, saya telah membahagikannya untuk melaksanakan 13 projek di beberapa kawasan iaitu menaik taraf perparitan dan jalan raya,” katanya semasa mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi projek tersebut, semalam. 

Menjelas lanjut, Lo yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata antara projek yang akan dilaksanakan tidak lama lagi ialah menaik taraf perparitan sepanjang dua kilometer dari persimpangan Landeh sehingga ke Jalan Puncak Borneo. 

“Saya telah memperuntukkan sebanyak RM400,000 untuk melaksanakan projek ini bagi mengatasi masalah banjir kilat yang menjejaskan kira-kira 100 rumah di sekitar laluan ini,” katanya. 

Selain itu, katanya adalah menaik taraf Lorong Ching Lee 3 sepanjang 700 meter di Jalan Landeh dengan kos sebanyak RM300,000. 

Beliau menambah, lampu jalan dari simpang Landeh sehingga ke Kampung Betong sejauh lima kilometer juga akan dipasang dalam masa terdekat. 

Bagaimanapun, katanya peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan projek itu adalah diperolehi daripada Kementerian Perumahan dan Urbanisasi.

No comments:

Post a Comment