08 June 2017

MPP terus sedia perkhidmatan perpustakaan desa: Khere Chiang



Utusan Online Borneo 2014-09-15
 
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan terus menyediakan perkhidmatan perpustakaan desa kepada penduduk luar bandar di seluruh kawasan seliaannya. 
 
Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata inisiatif tersebut adalah sejajar dengan visi dan misi MPP untuk menggalakkan minat dan tabiat membaca di kalangan masyarakat. 

“Adalah menjadi hasrat MPP untuk memberi kemudahan perkhidmatan perpustakaan desa kepada penduduk setempat. 

“Ini akan kami usahakan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat dibantu menerusi program pendidikan formal dan tidak formal selain mengamalkan tabiat pembelajaran sepanjang hayat,” katanya. 

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Desa Kampung Garung di sini yang disempurnakan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil. 

Sehubungan itu, Lo berkata MPP kini sedang dalam rancangan untuk membina dua lagi perpustakaan desa iaitu masing-masing di Kampung Chupak dan Kampung Sibakar.
Katanya dalam tahun ini, MPP juga telah membuka tiga perpustakaan desa iaitu di Kampung Garung yang bernilai RM124,000, Kampung Sungai Maong dan Kampung Telaga Air. 

Justeru, Lo berkata MPP telah menjadi penyedia perkhidmatan perpustakaan desa paling banyak di negeri ini. 

“MPP sekarang mempunyai 34 perpustakaan desa dan ia merupakan yang terbanyak di Sarawak,” katanya. 

Pada masa sama, MPP turut memiliki dua perpustakaan awam. 

Antara visi MPP dalam menyediakan perpustakaan adalah memberi perkhidmatan mesra pengguna dan penyediaan lebih banyak bahan ilmiah dalam mewujudkan masyarakat yang celik huruf dan maklumat. 

Manakala misinya adalah meningkatkan kualiti perkhidmatan perpustakaan dengan menyediakan bahan-bahan perpustakaan yang tersusun dan mudah dikesan bahan maklumatnya. 

Selain itu, ia juga memastikan buku yang terdapat di perpustakaan dan buku yang tersedia adalah mematuhi keperluan untuk semua peringkat pendidikan dan sosial penggunanya.
Kategory Sarawak (/sarawak) 

http://www.utusanborneo.com.my/2014/09/15/mpp-terus-sedia-perkhidmatan-perpustakaan-desa-khere-chiang

No comments:

Post a Comment