Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Lo kesal dengan sikap
individu buang sampah sesuka hati
Utusan Borneo Online: 2017-04-29
KOTOR: Lo melihat keadaan parit yang dipenuhi sampah akibat perbuatan yang tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram.
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang kesal dengan sikap sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat yang bukan sepatutnya.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu berkata, sikap membuang sampah di merata-rata tempat boleh menyebabkan masalah seperti sistem perparitan tersumbat dan sebagainya.
“Pada hari ini kita mengadakan lawatan ke tapak pembuangan sampah haram di Skim Penempatan Semula Stampin untuk memberi kesedaran kepada penduduk di sini tentang kesan daripada pembuangan sampah secara haram dan bukan di tempat yang disediakan.
“MPP amat menitikberatkan tentang alam sekitar kita, kerana ia bukan sahaja merosakkan keindahan pandangan kita tetapi menyebabkan isu besar seperti banjir yang berpunca daripada sistem perparitan yang tersumbat akibat perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Justeru, Lo berharap masyarakat dapat memberi kerjasama untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
“Jika ada melihat pembuangan sampah secara haram di tempat anda laporkan segera kepada MPP, kita sepenuh hati memohon kerjasama daripada orang ramai untuk bersama-sama memerangi aktiviti pembuangan sampah secara haram ini,” tegasnya.
Selain itu, beliau memberitahu penduduk juga boleh menghubungi Trienekens di talian 082-612300 untuk perkhimatan mengutip sampah di kawasan kediaman masing-masing.
Malah, menurutnya lagi bagi membendung aktiviti pembuangan sampah secara haram itu, MPP turut menjalinkan kerjasama erat dengan Trienekens dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau menjelaskan, mengikut Seksyen 18 (3) Kerajaan Tempatan (Undang-undang Kecil Kebersihan 1999) individu yang didapati membuang sampah secara haram boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 bagi kesalahan pertama dan RM2,000 bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali.
No comments:
Post a Comment