08 June 2017

Chong suka bercakap besar, kosong tapi ‘tidak berguna’ : Lo


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Chong suka bercakap besar, kosong tapi ‘tidak berguna’ : Lo

Utusan Borneo Online: 2017-06-08 
  KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen tidak hanya seorang pemimpin suka bercakap besar dan kosong untuk menarik perhatian tetapi wakil rakyat yang ‘tidak berguna’ serta pengecut. 

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, ia dibuktikan dengan sikap Chong yang sering mendakwa mempunyai bukti wujudnya operator-operator mesin ikan (judi) haram tetapi gagal membawa sebarang kes ke mahkamah. 

“Jelas Chong tidak hanya bercakap besar dan kosong untuk mendapat perhatian tetapi wakil rakyat yang tidak berguna, pengecut kerana tidak pernah membangkitkan isu-isu ini di Parlimen. 

“Chong juga tidak pernah berani meminta ‘bos besar’ beliau iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, membanteras operasi haram itu di sana (Pulau Pinang),” tegasnya pada satu sidang media di MPP dekat sini semalam. 

Lo berkata, sekiranya selama ini Chong mempunyai bukti kukuh operator mesin itu melanggar undang- undang, sebagai wakil rakyat di peringkat negeri dan persekutuan beliau harus memaklumkan ibu pejabat polis di Bukit Aman agar menutup semua industri mesin ikan haram di seluruh negara. 

Tambah beliau lagi, sehingga ke hari ini Pulau Pinang yang dipegang DAP tidak mengambil sebarang tindakan menutup premis-premis mesin ikan di negeri itu. 

“Saya dari MPP menjadi perintis mengambil tindakan menutup premis-premis mesin ikan dalam bidang kawasan pentadbiran MPP... MPP telah membatalkan lesen keempat-empat perjudian haram seperti didakwa polis dalam satu kenyataan bertarikh 31 Mei 2017. 

“Saya sendiri turun padang untuk memastikan kesahihan dakwaan itu dan ternyata ia benar, saya mengarahkan pegawai penguatkuasa MPP membatalkan keempat-empat lesen berkenaan serta-merta, mereka tidak dibenarkan beroperasi lagi pada masa akan datang,” ujarnya. 

Lo berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Chong pada satu sidang media Selasa lepas yang mahu pengerusi MPP itu menjelaskan kepada umum sebab beliau mengambil masa selama dua tahun untuk menyedari dan mengakui lesen lesen hiburan keluarga dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu digunakan bagi tujuan perjudian. 

Menurut Chong, Lo hanya bertindak selepas Superintenden Aidil Bolhassan pada 31 Mei 2017 secara terbuka menegur MPP kerana mengeluarkan lesen hiburan keluarga yang digunakan untuk perjudian menyebabkan polis sukar membanteras perjudian haram di kawasan Padawan. 

Menjelas lanjut Lo berkata kenyataan negatif Chong itu hanya menimbulkan salah faham antara beliau, MPP dengan polis.

No comments:

Post a Comment