04 February 2017

Lo: MPP masih teliti rancangan perkenal sistem parkir berbayar


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Lo: MPP masih teliti rancangan perkenal sistem parkir berbayar

Utusan Borneo Online: 2017-02-04

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) masih meneliti perancangan untuk memperkenalkan
sistem parkir berbayar dalam kawasan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu. 
 
Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru memperkenalkan sistem itu kerana banyak prosedur yang perlu dilalui. 

“Meskipun kita akan mempunyai sistem parkir berbayar kelak, namun kita hanya akan menggunakannya berdasarkan keperluan. 

“Ini kerana objektif kita memperkenalkan sistem ini adalah untuk meringankan masalah trafik dan mengurangkan kesesakan di kawasan berpenduduk tinggi dan bukannya membuat wang untuk MPP,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kunjungan mesra Tahun Baharu Cina bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman Prof Datuk Dr Sim Kui Hian di sini semalam. 

Mengulas lebih lanjut mengenai sistem yang bakal diperkenalkan itu, Lo berkata ia masih dibincang dan ia mungkin dalam bentuk elektronik mahupun berkupon seperti yang diguna pakai oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). 

“Kita mahu pastikan sistem yang diguna pakai ini nanti praktikal dengan sistem yang digunakan oleh DBKU dan MBKS tetapi ia tidak semestinya sistem yang sama. 

“Bagaimanapun kita perlu mendapatkan maklum balas daripada orang awam dahulu dan jika mereka tidak kisah untuk sistem ini diperkenalkan, maka kita akan laksanakannya dan jika sebaliknya sistem ini mungkin tidak akan kita laksanakan. 

“Tetapi seperti yang saya jelaskan, sistem ini bukan untuk mengaut keuntungan kepada MPP tetapi lebih kepada untuk meringankan mengurangkan masalah kesesakan di kawasan parkir kenderaan,” katanya. 

Dalam pada itu, terdapat 2,000 lebih ruang tempat parkir kenderaan disediakan dalam kawasan MPP tetapi tidak semuanya berhadapan dengan kesesakan seperti Bandar Baru Batu Kawah (MJC). 

Antara kawasan yang praktikal untuk pelaksanaan sistem parkir berbayar ini ialah Batu Tiga dan Kota Sentosa atau Batu Tujuh tetapi hanya terhad untuk waktu tertentu sahaja.

No comments:

Post a Comment