12 February 2017


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Semua rakyat dijamin bebas amal agama: Najib

2017-02-11 oleh Jessica Jawing
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semua rakyat di negara ini bebas mengamalkan agama masing-masing selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Malaysia. 

Menurutnya, pada masa sama ia mengukuhkan lagi sikap toleransi dan hormat-menghormati yang telah sekian lama menjadi tunjang keamanan negara.
“Sebagai Perdana Menteri, saya menyanjung prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan salah satu daripada peruntukannya Perkara 3, yang mana menjamin kebebasan beragama di negara ini. 

“Ia juga bukan sahaja memberi jaminan kebebasan beragama tetapi menyatakan bahawa semua agama di negara ini harus dipraktikkan dalam keadaan aman dan harmoni tanpa gangguan,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian program tinjauan ke tapak Gereja St Ann, Kota Padawan yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Uskup Agung Roman Katolik Kuching, Datuk John Ha di sini, malam kelmarin. 

Najib berkata, beliau amat kagum dengan sambutan daripada kira-kira 3,000 penduduk pelbagai kaum yang datang pada majlis berkenaan. 

Katanya, ia jelas menunjukkan bahawa Gereja St Ann itu amat penting dan amat dinanti-nantikan oleh mereka. 

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Abang Johari bagi mendapatkan dana untuk menyiapkan gereja berkenaan yang menelan kos keseluruhan RM19.2 juta dan masih kekurangan RM8.9 juta. 

“Saya akan membincangkan perkara ini di mana kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan memberi sumbangan kerana saya berharap ia dapat disiapkan pada tahun ini.
“Ini kerana atas semangat 1Malaysia sebegini kita akan dapat terus berdiri bersama, lebih bersatu dan sekali gus membawa Malaysia dan Sarawak ke arah lebih maju,” katanya. 

Gereja St Ann merupakan tempat ibadat kepada lebih 22,000 umat Katolik daripada 45 kampung serta 14 '
taman perumahan di sekitar kawasan berkenaan. 
 
Buat masa ini, Gereja St Ann masih beroperasi di bangunan lama berbentuk ‘baruk’ yang hanya mampu memuatkan sehingga 2,000 umat pada misa setiap Ahad. 

Dengan kapasiti yang terhad, misa di gereja berkenaan dibahagikan kepada empat sesi dan susulan itu pada tahun 2006 cadangan dikemukakan untuk membina Gereja St Ann baharu, yang menggunakan dana dikumpul oleh umat Roman Katolik di bawah pentadbiran gereja itu. 

Pembinaan Gereja St Ann yang baharu melibatkan empat fasa iaitu fasa pertama bangunan gereja, fasa kedua bangunan pentadbiran dan kelas, fasa ketiga dewan serba guna dan fasa keempat kediaman paderi. 

Fasa pertama gereja dijangka siap menjelang April tahun ini yang kini giat dijalankan.

No comments:

Post a Comment