13 March 2018

Maybank QRPay permudah urus niaga

Utusan Borneo Online
Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Maybank QRPay permudah urus niaga
2018-03-12 oleh Marlinda Marizuki



Sistem bayaran transaksi tanpa tunai sejajar saranan ekonomi digital oleh KM: Dr Sim

KUCHING: Sistem pembayaran transaksi tanpa tunai menggunakan aplikasi Maybank QRPay merupakan cara urus niaga alaf baharu yang memudahkan peniaga dan pelanggan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, aplikasi yang diperkenalkan oleh Maybank itu perlu dicontohi oleh peniaga sejajar dengan saranan ekonomi digital Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Pelbagai kelebihan dapat dinikmati oleh peniaga dan pelanggan yang membuat pembayaran melalui aplikasi QRPay ini.

“Antaranya memudahkan urusan jual beli di mana pelanggan tidak perlu menyediakan wang tunai sebaliknya hanya perlu mengimbas kod QR pada telefon mudah alih mereka melalui aplikasi Maybank semasa membuat pembayaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran aplikasi Maybank QRPay di Pasar Basah Batu 3 di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang dan Pengarah Wilayah Maybank Sarawak Nasir Khan.

Sehubungan itu, Dr Sim melahirkan rasa bangga kerana Maybank memilih Pasar Basah Batu 3 sebagai lokasi pertama yang menggunakan aplikasi tersebut.

“Tahniah kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kerana melaksanakan kemudahan ini di kawasan pentadbiran mereka iaitu di Pasar Basah Batu 3 dalam usaha menyokong peniaga dan pelanggan menikmati pembayaran berbentuk ekonomi digital.

“Saya amat gembira kerana sedia maklum bahawa peniaga atau penjaja di sini memberi respons yang amat positif untuk melaksanakan aplikasi tersebut dalam urusan perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Nasir berkata aplikasi QRPay Maybank yang dilancarkan bulan lalu bertujuan untuk menggantikan cara pembayaran tunai secara tradisional kepada pembayaran yang menggunakan aplikasi di telefon pintar.

“Maybank QRPay juga lebih selamat digunakan kerana memerlukan kod keselamatan dan kata laluan untuk mengesahkan transaksi dan pada masa sama, membolehkan pelanggan membuat bayaran dalam kadar yang cepat,” katanya.

Nasir menjelaskan, pihaknya kini secara agresif mempromosikan sistem pembayaran berkenaan kepada peniaga kecil-kecilan dan pasar basah berikutan respons yang memberangsangkan daripada golongan tersebut.

“Mana-mana peniaga boleh memohon untuk menggunakan perkhidmatan ini dengan mendaftar untuk Maybank QRPay melalui aplikasi Maybank QRPay Peniaga, di mana mereka boleh menunjukkan nombor akaun bank mereka sendiri untuk bayaran yang akan disalurkan.

“Wang dikreditkan dalam masa segera kepada akaun peniaga, yang menjadikan keseluruhan proses bersifat mesra pengguna,” tambah Nasir.


No comments:

Post a Comment