16 May 2017

Wartakan Hospital RCBM sebagai tapak warisan


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Wartakan Hospital RCBM sebagai tapak warisan

Utusan Borneo Online: 2017-05-16
 
oleh Laporan oleh Saibi Gi, Agnes Tugong, Nick Fletcher, Rusnan Mustafa, Henrietta Liza, Siti Aisyah Ramli 

Hospital Rajah Charles Brooke Memorial mempunyai sejarah tersendiri yang wajar dipelihara: Lo Khere Chiang 

KUCHING: Hospital Rajah Charles Brooke Memorial (RCBM), satu-satunya tapak penempatan kusta di seluruh Borneo yang telah diwujudkan sejak tahun 1925 perlu diwartakan sebagai tapak warisan. 

ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata ini kerana hospital berkenaan mempunyai sejarah tersendiri yang wajar dipelihara. 

“Di situ (RCBM) masih ada banyak tapak perkuburan lama, dua gereja kecil, sebuah tokong Cina, surau dan rumah kenyalang yang dibina sejak 92 tahun lampau dan masih berdiri tegak sehingga hari ini. 

“Selain itu, banyak artifak sejarah dan peralatan perubatan berserta dokumen sejarah, jurnal, gambar- gambar lama, buku, bahan seni dan kraf tangan hasil buatan tangan bekas pesakit yang disimpan dengan rapi di bawah jagaan Pertubuhan Warisan Hospital RCBM,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam. 

Lo yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata kawasan itu juga amat strategik untuk diletakkan di bawah Denai Warisan Padawan sebagai langkah membawa masuk hasil sejarah dan kebudayaan bagi tarikan pelancongan di bawah naungan MPP. 

Sementara itu, Lo berkata kawasan tadahan air dan tangki penyimpanan air yang secukupnya perlu disediakan di kawasan yang lebih tinggi untuk mengatasi masalah bekalan air yang sering terganggu terutama di kawasannya. 

Jelas beliau, ia memandangkan baru-baru ini terdapat banyak ketidakpuasan hati berkenaan dengan bekalan air yang sering terganggu. 

Katanya disebabkan isu tersebut, sesetengah pihak telah menyalahkan kegagalan bekalan elektrik sebagai penyebab fungsi pam air terbantut untuk menyalurkan bekalan air secara lancar kepada para pengguna. 

Bagaimanapun, katanya kegagalan elektrik bukanlah punca utama kerana sungguhpun terjadinya kegagalan fungsi pam air, loji takungan air seharusnya mampu menampung permintaan para pengguna. 

“Dengan jumlah tangki takungan air di kawasan tinggi yang kompeten, kita akan dapat menyalurkan air paip yang lancar kepada para pengguna melalui proses graviti tanpa mengharapkan pemulihan semula bekalan elektrik,” katanya.

No comments:

Post a Comment