12 May 2017

Sambutan Hari Wesak di Kuching berlangsung penuh kesyukuran

Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Sambutan Hari Wesak di Kuching berlangsung penuh kesyukuran

% 2017-05-11


KUCHING: Sambutan Hari Wesak di sini semalam berlangsung penuh kesyukuran, penganut Buddha mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi bagi memberi penghormatan kepada Buddha. 

Hari Wesak merupakan perayaan penting kepada penganut Buddha kerana ia melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung dan Kewafatan Gautama Buddha. 

Semalam, premis Persatuan Penganut Buddha Malaysia Cawangan Sarawak di sini dipenuhi penganut Buddha yang hadir untuk menunaikan sembahyang pagi dan upacara itu turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian. 

Beliau yang ditemui berkata, sambutan Hari Wesak perlu dilakukan dengan penuh kesyukuran dan menghargai perpaduan serta keamanan dikecapi rakyat pelbagai kaum di Sarawak. 


“Ketika ini wujud golongan ekstremis dalam agama. Di Sarawak, kita sangat bernasib baik kerana perkara ini tidak berlaku. Oleh sebab itu, janganlah mengambil mudah perpaduan dan serta keharmonian yang dikecapi selama ini. 

“Di Sarawak, terutamanya Kuching, ‘Bandar Raya Perpaduan,’ kita mesti melindungi dan memelihara keharmonian ini. Seorang dua ektremis (dalam agama) boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan kita,” ujarnya. 

Tambahnya, Sarawak bertuah kerana rakyatnya yang berbilang kaum dan agama tidak hanya hidup harmoni dan saling menghormati tetapi meraikan perayaan keagamaan bersama-sama. 

Menurutnya, penubuhan Unit Hal Ehwal Selain Islam menunjukkan kerajaan negeri serius dan komited dalam hal-hal keagamaan. 


“Kerajaan negeri akan terus memastikan rakyat dapat mengamalkan agama dan kepercayaan masing- masing,” katanya. 

Hadir sama memberi penghormatan kepada Buddha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan pengerusi Persatuan Penganut Buddha Malaysia Cawangan Sarawak Datuk Tay Chin Kin.



No comments:

Post a Comment