18 April 2017

DUN Batu Kitang bakal mendapat pembangunan secara berperingkat


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » DUN Batu Kitang bakal mendapat pembangunan secara berperingkat

2017-04-17 BAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang tidak dilepas pandang oleh kerajaan selepas Barisan Nasional (BN) dipilih oleh rakyat di situ, bahkan bakal mendapat pembangunan berterusan secara berperingkat-peringkat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata setiap kampung dan penempatan di kawasan Batu Kitang akan menjalani pembaharuan tidak lama lagi dari sudut pembangunan infrastruktur setempat. 

“Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian baru-baru ini telah mendapat kelulusan peruntukan daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM40 juta untuk tujuan membina tebatan banjir di kawasan Batu Kawah. 

“Selepas ini mudah-mudahan kejadian banjir dapat dibendung dan tidak dilupakan Kampung Tematu akan diberi peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf dewan serba guna kampung, RM200,000 untuk menaik taraf parit dan jalan raya kampung, RM5,000 untuk gereja kampung ini dan RM3,000 untuk JKKK kampung. 

“Apa yang kita mahu adalah, penduduk kampung menggunakan sepenuhnya dewan serba guna dengan kadar sewaan dan sebagainya dengan mengadakan pelbagai acara sukan, keramaian dan banyak lagi. 

“Juga keselesaan kepada penganut yang bersembahyang di gereja kampung dan digalakkan JKKK mengadakan lebih banyak aktiviti selepas ini melibatkan penduduk kampung,” katanya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Ahli dan sambutan Easter di Kampung Tematu semalam. 

Beliau memuji kesungguhan AJK Kelab Rekreasi Pengguna dan Pengurusan Dewan Serba Guna Kampung Tematu kerana banyak membawa perubahan yakni sebahagian daripada pembangunan setempat. 

Lo yang menjadi jemputan majlis itu turut mengucapkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong kerana memberi sumbangan bagi tujuan tersebut. 

Pihaknya turut mengadakan jamuan ringan bagi setiap jemputan yang hadir semalam.

No comments:

Post a Comment