04 September 2017

Ibadah Korban Mengukuhkan Semangat Perpaduan




KUCHING: Ibadah korban disambut bersama berupaya mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada masyarakat bukan Islam di sini terhadap Islam.

Demikian ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang sambil menambah, walaupun setiap rakyat di sini berbeza bangsa dan agama yang dianuti tetapi kepelbagaian itu yang memberi keindahan.

“Ini menunjukkan persaudaraan kita walaupun berbeza agama dan bangsa kerana kita saling menyokong dan membina sebuah masyarakat ke arah yang lebih positif.
“Masyarakat Islam menjalankan ibadah korban untuk menunaikan kewajipan mereka kepada tuntutan agama.

“Ditambah pula, daging yang telah dilapah selepas upacara korban disedekahkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan dan perkongsian itu yang dianggap mulia,” katanya ketika menghadiri Hari Raya Korban di Kampung Sebuak baru-baru ini.
Lo sendiri telah menyumbang 15 ekor lembu untuk tujuan tersebut dan berasa teruja kerana ia merupakan sumbangan kali kedua untuk penduduk perkampungan Islam yang terletak di kawasan Batu Kitang.

Lo secara jujur berasa bertuah kerana diberi peluang membantu rakyat di kawasannya terutama golongan yang memerlukan di sini. Itulah sebabnya saya menyokong usaha ini dan akan sentiasa melakukannya setiap tahun dengan kerelaan hati, tegasnya.
Kampung-kampung tersebut adalah Kampung Landeh, Taman RPR Landeh, Kampung Sebuak, Kampung Paya Mebi, Kampung Betong, Kampung Sinar Baru, Kampung Bumbok, Kampung Tematu.

Juga Kampung Haji Baki, Kampung Sandong, Kampung Batu Kitang Jaya, Kampung Batu Kitang Lama, Kampung Lidah Tanah, Kampung Bukit Panchor dan Kampung Bunga Rampai.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri kerana turut menyumbang kepada rakyat di kawasan tersebut. 

http://www.utusanborneo.com.my/2017/09/05/ibadah-korban-mengukuhkan-semangat-perpaduan










No comments:

Post a Comment