21 May 2015

Taman buah-buahan dirancang di BRS


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Taman buah-buahan dirancang di BRS

Utusan Borneo Online: 2015-05-21 

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) merancang membangunkan taman buah-buahan di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) bagi memberi nilai tambah kepada potensinya sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal di sini. 

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata ia akan dilakukan dengan kerjasama penduduk empat kampung di skim berkenaan. 

Selain menjadi lokasi sukan lasak, BRS katanya amat berpotensi dibangunkan sebagai taman buah-buahan ekoran kesuburan tanah serta keadaan muka buminya. 

“BRS antara destinasi pelancongan terbaik di Kuching khasnya kerana keindahan alam semula jadi dan bentuk muka buminya. 

“Cuma sekarang, usaha untuk memberi nilai tambah kepadanya perlu dilakukan dan ia hanya boleh berjaya dengan bantuan serta sokongan penduduk setempat,” katanya pada sidang media di sini semalam. 

Lo menambah, Padawan atau lebih khusus Bengoh mempunyai banyak tarikan pelancong dan untuk meletakkannya di peta pelancongan negara seterusnya dunia memerlukan kerjasama semua pihak. 

Sementara itu katanya, MPP mahu menjadikan Cabaran Ekstrem Kenderaan Pacuan Empat Roda Antarabangsa Padawan 2015 acara penting seterusnya disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sarawak pada masa akan datang. 

Beliau percaya acara itu mampu mendapat perhatian dunia berikutan sambutan amat menggalakkan bukan sahaja daripada peserta tempatan tetapi dari luar negara meskipun ia diadakan buat julung kalinya. 

“Ini adalah pertama kali kami menganjurkan acara seperti ini tetapi sebelum ia bermula, kami boleh mengatakan ia berjaya apabila mengambil kira kesungguhan dan minat para peserta daripada pelbagai negara,” katanya. 

Acara yang berlangsung mulai 22 hingga 24 Mei ini di BRS akan disertai 60 pasukan dari pelbagai negara antaranya Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura termasuk Semenanjung Malaysia dan Sabah.

No comments:

Post a Comment