15 June 2024

Lo selar kenyataan Hassan dakwa Sarawak cabar kerajaan persekutuan

Lo selar kenyataan Hassan dakwa Sarawak cabar kerajaan persekutuan

 

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang (gambar) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang mendakwa Sarawak mencabar kerajaan persekutuan.

Beliau menyuarakan kekecewaannya itu menerusi kenyataan menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp hari ini dan menyatakan sekeras-kerasnya bahawa dakwaan itu sama sekali tidak benar.

"Saya menyokong rakan-rakan Sarawak saya, YB Hasidah dan YB Fazarudin yang telah menjelaskan dengan jelas bahawa kita tidak mencabar kerajaan persekutuan.

"Sebaliknya kami memohon agar kerajaan persekutuan mengiktiraf, menghormati dan mengembalikan hak yang selama ini tidak diberikan kepada Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Menurutnya lagi, MA63 merupakan sebuah perjanjian antarabangsa yang ditandatangani di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ia tidak boleh dipadam atau dipinda.

"Saya dengan rendah hati ingin mengingatkan rakyat Malaysia di Semenanjung bahawa Sarawak mempunyai badan perundangan tertua di Malaysia.

"Ia telah ditubuhkan pada tahun 1867 yang diketuai oleh Rajah Charles Brooke. 

"Sejak 60 tahun lalu, hasil yang diambil dari Sarawak telah digunakan untuk membangunkan Semenanjung Malaysia. sekali gus meninggalkan kedua-dua negeri di Borneo jauh ketinggalan dari segi pembangunan," katanya.

Lo berkata, Sabah dan Sarawak bersama-sama menyumbang 60 peratus daripada minyak dan gas Malaysia dan mengepam berbilion ringgit sejak 63 tahun lalu ke dalam tabung negara.

Generasi muda Sarawak juga katanya, sudah mula bertanya soalan seperti, 'Mengapa kita tidak boleh memiliki itu dan ini seperti yang dinyatakan dalam MA63?'

"Kami (kerajaan Sarawak) bertanggungjawab kepada anak-anak muda kami untuk membentangkan fakta dan kebenaran tentang PDA74 dan TSA2012 serta peranan penting yang dimainkan oleh MA63 dalam sejarah negara kita dan Sarawak," tegasnya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/06/15/lo-selar-kenyataan-hassan-dakwa-sarawak-cabar-kerajaan-persekutuan?

No comments:

Post a Comment