KUCHING: Safari Rakit Padawan 2019 dijangka lebih menarik, apabila acara sukan lasak ikonik Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu buat pertama kali akan dianjurkan bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Justeru, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang amat mengalu-alukan penglibatan SEDC termasuk pihak swasta lain yang ingin bekerjasama menganjurkan Safari Rakit Padawan pada tahun depan.
“Kami (MPP) mengalu-alukan pihak swasta, syarikat berkaitan kerajaan atau individu untuk bersama-sama menganjurkan acara ini pada tahun depan.
“Ini kerana kami mahu melihat Safari Rakit Padawan 2019 bukan sahaja fokus kepada masyarakat tempatan, tetapi dengan sokongan dari segi logistik, teknikal dan pelaburan lain maka acara ini akan dapat membawa impak yang lebih besar kepada industri pelancongan Sarawak,” kata Lo.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis penutupan Safari Rakit Padawan 2018 di Dewan Serba Guna Kampung Git, dekat sini semalam.
Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang mahu melihat acara sukan lasak ikonik MPP itu akan membawa lebih banyak penyertaan dari luar negara pada tahun depan.
Justeru, katanya dengan penglibatan sektor swasta serta syarikat berkaitan kerajaan dalam acara tersebut tahun depan, maka usaha mempromosikan Safari Rakit Padawan akan dapat diperluaskan sehingga ke luar negara.
“Semua pihak amat dialu-alukan untuk berjumpa dengan kami untuk berbincang atau merangka acara yang lebih menarik lagi pada tahun depan,” ujarnya.
Safari Rakit Padawan telah bermula sekitar 2004 dan menjadi aktiviti tahunan yang dikelolakan oleh MPP dengan disokong kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak serta pihak swasta.
Pertandingan ini adalah untuk mempromosikan kawasan pelancongan Padawan kepada orang ramai terutama para pelancong dari luar negara sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan Padawan.
Di samping itu, ia juga adalah wadah untuk menggalakkan penglibatan seluruh komuniti dalam kawasan setempat dalam aktiviti sihat.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim, Setiausaha MPP Elizabeth Loh dan pengerusi pengelola Safari Rakit Padawan 2018 Kaunselor Ahkim Sarok.
Petikan dari UtusanBorneo
No comments:
Post a Comment