10 January 2016

MPP tanggung RM80,000 setahun bersih sampah dibuang merata-rata


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » MPP tanggung RM80,000 setahun bersih sampah dibuang merata-rata

% 2016-01-10
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM80,000
setiap tahun bagi membersihkan sampah dibuang merata-rata. 
 
Pengerusinya, Lo Khere Chiang berkata isu pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku. 

“Mereka membuang di kawasan yang tidak sepatutnya, pada hal masyarakat sentiasa menginginkan kehidupan ceria dan bersih. 

“Memang tidak dinafikan perkara ini membuatkan saya sakit kepala kerana kita (MPP) terpaksa membelanjakan duit untuk kegunaan yang dirasakan tidak perlu,” katanya sambil mendedahkan, pihaknya telah membelanjakan jumlah sama tahun lalu. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jom Makan Durian anjuran Bank Rakyat Cawangan Kota Padawan di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, Lo berkata meskipun tong sampah telah disediakan namun masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab menimbulkan masalah tersebut. 

“Tong sampah banyak disedia tetapi saya tidak faham kenapa mereka masih bertindak seddemikian malah tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata tempat,” jelasnya. 

Katanya, bukan itu sahaja, malah ada mencampakkan sampah dari kereta masuk ke dalam parit. 

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata ia akan menyebabkan masalah longkang tersumbat jika perkara itu berterusan berlaku dan sampah tidak dibuang ke dalam tong sampah disediakan. 

Katanya, sikap sambil lewa segelintir pihak tersebut menunjukkan mereka yang tidak bertanggungjawab itu terhadap persekitaran. 

Menurut Lo, pihaknya hanya dapat mendidik dan menggalak masyarakat agar tidak membuang sampah merata-rata tempat. 

“Kita tidak berbuat apa-apa selain menasihati dan mendidik masyarakat untuk tidak melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu. 

“Kita harap agar masyarakat dapat bekerjasama dengan kita dalam menjaga kebersihan di kawasan di sini,” katanya. 

Sementara itu, dalam majlis tersebut turut dihadiri Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai, Ketua Bank Rakyat Wilayah Sarawak, Mohd Salleh Talib dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kota Padawan, Sharvina Sarbini.

No comments:

Post a Comment