13 January 2016

MPP mahu lebih banyak peruntukan atasi banjir


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » MPP mahu lebih banyak peruntukan atasi banjir

Utusan Borneo Online:2016-01-13

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berharap akan mendapat lebih banyak peruntukan
daripada kerajaan persekutuan untuk mengatasi banjir. 
 
Justeru, Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata akan menyuarakan hasrat tersebut kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. 

“Dana ini sangat diperlukan untuk kami menjaga serta menaik taraf sistem perparitan bukan sahaja dalam kawasan MPP tetapi juga bagi seluruh Kuching,” katanya ketika ditemu bual di sini, semalam. 

Selain itu, Lo berkata pelaksanaan lebih banyak projek tebatan banjir adalah amat penting bagi mengatasi masalah banjir. 

“Seperti di Kuala Lumpur, ia dahulu merupakan kawasan terdedah banjir kilat tetapi kini tidak lagi kerana banyak projek mengatasi banjir dilaksanakan. 

“Bagaimanapun di Kuching, saya dapat melihat masalah banjir kilat sering berlaku dan ia akan menjadi lebih buruk jika kita tidak mengatasinya,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa masalah banjir yang dihadapi di negeri ini harus dibawa kepada pihak berkuasa tertinggi kerajaan dan menteri. 

“Tindakan ini perlu kerana kita mahu mereka sedar mengenai masa depan negeri. 

“Mereka perlu adil untuk membangun serta meningkatkan infrastruktur di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment