28 July 2015

MPP belanja RM8 juta naik taraf jalan, perparitan dan jambatan


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » MPP belanja RM8 juta naik taraf jalan, perparitan dan jambatan

Utusan Borneo Online: 2015-07-28 
 
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah membelanjakan sebanyak RM8 juta untuk menaik taraf jalan, perparitan dan jambatan di kawasan seliaannya setakat Julai tahun ini dengan sebanyak RM3.6 juta daripada jumlah tersebut adalah dibelanjakan di kawasan Batu Kawa sahaja. 

Justeru, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan RM8 juta lagi untuk menaik taraf jalan, perparitan dan jambatan di kawasan Padawan sebelum penghujung tahun ini. 

“MPP sudah melaksanakan banyak projek untuk penduduk di kawasan seliaan kami dengan di Batu Kawa sahaja, kami telah membelanjakan sebanyak RM3.6 juta. 

“Kini masih lagi pertengahan tahun dan kami sedang berusaha untuk melaksanakan sebanyak mungkin projek dengan tumpuan bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar,” katanya pada sidang media di sini semalam. 

Dalam pada itu, Lo berkata MPP juga menyedari bahawa banyak kawasan di konstituensinya memerlukan lampu jalan namun ia menghadapi kekangan dari segi dana untuk menyediakan kemudahan tersebut. 

“Saya berharap masyarakat akan lebih bersabar dan saya percaya masalah ini akan diselesaikan,” katanya. 

Sementara itu, Lo turut menyatakan penghargaannya kepada penduduk setempat yang memberi maklum balas kepada MPP yang menjurus kepada banyak kerja penambahbaikan telah dilakukan di banyak tempat. 

“Kami amat memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak untuk menyelesaikan pelbagai isu,” katanya. 

Pada masa sama, Lo juga menyeru kepada masyarakat agar terus memberi sokongan kepada kerajaan. 

Dianggarkan seramai 400,000 orang tinggal di kawasan seliaan MPP dengan 50,000 orang tinggal di Batu Kawa sahaja.

No comments:

Post a Comment