04 April 2014

Town Square Kota Sentosa hampir siap


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Town Square Kota Sentosa hampir siap


2014-04-03
Projek pemasangan bumbung yang menelan kos RM450,000 siap 90%
KUCHING: Projek pemasangan bumbung Town Square Kota Sentosa yang menelan kos RM450,000 kini sudah siap 90 peratus dan dijangka diserahkan kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada hujung bulan ini. 

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, dengan siapnya projek itu nanti, ia akan menyediakan tempat yang lebih selesa kepada masyarakat di situ menjalankan aktiviti-aktiviti mereka antaranya senaman dan progam liburan lain. 

Town Square juga sering dijadikan tapak bazar Ramadan setiap kali bulan puasa, katanya.
“Projek ini dijadual siap sepenuhnya pada minggu ketiga bulan ini (April), sekarang kontraktor bertanggungjawab hanya perlu memasang sedikit lagi bumbung dan kerja-kerja pendawaian elektrik,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu semalam. 

Menurutnya, pemasangan bumbung itu meliputi kawasan kira-kira 475 meter persegi selain dilengkapi pentas terbuka, lampu pelbagai fungsi dan mentol berwarna bagi mencantikkannya. 

“Kami mendapat dana RM500,000 daripada kerajaan pusat dan ia merupakan janji Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin setahun lalu ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke Pasar Batu 7. 

“Bagi pihak MPP dan rakyat, saya amat berterima kasih kepada kerajaan pusat amnya dan Muhyiddin khasnya ,” tambah Lo. 

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching diberi kepercayaan mereka bentuk dan pembinaan termasuk kerja-kerja pemantauan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual. 

Lo pada masa sama menggesa penduduk sekitar memainkan peranan mereka membantu MPP menjaga kawasan lapangan itu terutama daripada aspek kebersihan dan perbuatan laku musnah oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

“Saya berpendapat penglibatan masyarakat setempat sangat penting untuk memastikan semua projek atau kemudahan awam dipelihara seterusnya dapat digunakan bagi tempoh lebih lama,” katanya. 

Hadir sama Ketua Bahagian Bangunan JKR Kuching Wong Siu Ping, jurutera-jurutera MPP serta beberapapegawai daripada JKR Kuching.

No comments:

Post a Comment