04 April 2014

Sokongan Cina diyakini pulih


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Sokongan Cina diyakini pulih

% 2014-04-03

Pendirian tegas Adenan tolak pelampau beri impak besar kepada masyarakat: Lo 

KUCHING: Sokongan ma-syarakat Cina di Sarawak dijangka akan kembali berpihak kepada kerajaan dan bakal diterjemahkan dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) seterusnya di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem. 

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, kelantangan Adenan dalam menentang kemasukan pelampau ke negeri ini memberi impak besar kepada masyarakat sekali gus membuktikan beliau adalah seorang pemimpin yang liberal. 

“Saya amat mengagumi cara kepimpinan beliau dan saya percaya, masyarakat Cina akan kembali berpihak kepada kerajaan, kepada Barisan Nasional pada PRN akan datang kerana Ketua Menteri kita mencerminkan dirinya sebagai sangat liberal, adil dan bertimbang rasa. 

“Kami mempunyai keyakinan tinggi terhadapnya dan akan memberi sokongan penuh. 

Meskipun berbeza dari segi latar belakang politik, kebudayaan dan kepercayaan agama, kami amat menyokong cara kepimpinannya,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat bersama 45 kaunselor dan kakitangan MPP ke atas Adenan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, semalam. 

Mengulas lanjut mengenai kunjungan hormat itu, Lo memberitahu ia adalah bagi menerangkan perkembangan dan pembangunan MPP, selain untuk mengucapkan tahniah kepada Adenan selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima. 

Ditanya sama ada tujuan kunjungan hormat itu adalah bagi membincangkan kerusi Timbalan Pengerusi MPP yang masih kosong, Lo yang menafikannya sekadar memberitahu: “Perkara itu tidak dibincangkan tadi (semalam). Ini sekadar kunjungan hormat biasa, tidak membabitkan aspek politik. 

“Tetapi saya percaya pemimpin telah mengetahui siapa yang terbaik untuk memegang jawatan Timbalan
Pengerusi itu,” katanya. 
 
Jawatan Timbalan PMPP bagi sesi 2014-2016 masih kosong walaupun senarai ahli majlis telah diumumkan pada 5 Februari lalu. 

Ia juga dikuotakan untuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mana sebelum ini disandang oleh Mohd Hashim Yap. 

Mohd Hashim meninggal dunia disebabkan masalah kesihatan pada bulan Februari lepas.

No comments:

Post a Comment