31 March 2017

Program ‘Eat Right to Play Right’ berlangsung dengan jayanya

Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Program ‘Eat Right to Play Right’ berlangsung dengan jayanya

Utusan Borneo Online: 2017-03-30 
 

KUCHING: Program ‘Eat Right to Play Right’ (ERTPR) anjuran bersama Zurich Insurance & Takaful Malaysia Berhad dan One Goal Malaysia berlangsung dengan jayanya di Kampung Semeba dekat sini. 

Program yang berlangsung pada Jumaat hingga Ahad (24-26 Mac lalu) menyaksikan pelajar sekolah berkampung di Kampung Semeba dan menggunakan permainan bola sepak sebagai landasan mempromosikan pentingnya diet sihat dan gaya hidup seimbang. 

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP). 

“Kita di Padawan, amat berterima kasih kepada Zurich Insurance & Takaful Malaysia Berhad dan One Goal Malaysia kerana memberi peluang kepada penduduk setempat mempelajari pengurusan diet dan gaya hidup seimbang yang betul,” katanya. 

Pada program itu, jurulatih-jurulatih bola sepak komuniti mengambil bahagian yang dikenal pasti dari kawasan Padawan. 

Para peserta diberi latihan menjadi jurulatih bola sepak dan pakar pemakanan oleh One Goal Malaysia serta jurulatih berpengalaman Ibrahim Mohamed daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama pasukan pemakanan dan pengawai perlindungan kanak-kanak. 

Buat pertama kalinya, One Goal Malaysia dengan sokongan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, penceramah membincangkan pengaruh penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti kampung. 

Mereka turut melatih jurulatih kaedah mengendalikan situasi berkaitan dadah yang mengeksploitasi kanak-kanak dalam masyarakat. 

“Pencegahan bermula di rumah dan keluarga jurulatih One Goal berada di sini untuk memperkasakan komuniti ke arah laluan yang betul,” tambah Lo.

No comments:

Post a Comment