25 March 2017

Empat projek jejambat dilaksana di kawasan MPP


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Empat projek jejambat dilaksana di kawasan MPP

Utusan Borneo Online: 2017-03-24 oleh Nick Fletcher


KUCHING: Empat projek jejambat bernilai lebih RM200 juta akan dilaksanakan di kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada tahun ini. 

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata pembinaan laluan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas itu adalah masing-masing di Batu 4, Batu 6, Batu 9 dan Batu 10. 

Menurutnya, pembinaan jejambat di Batu 9 dan Batu 10 akan bermula pada Jun, manakala di Batu 4 dan Batu 6 bermula pada Ogos. 

“Kesemua projek yang dilaksanakan di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap menjelang 2020. 

“Apabila jejambat-jejambat ini siap nanti, pemanduan di sepanjang laluan tersebut akan lancar,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPP di sini, semalam. 

Turut hadir Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim dan Setiausaha MPP Andrew Joris. 

Sementara itu, Lo yang juga ADUN Batu Kitang berkata MPP pada tahun ini juga menerima geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) sebanyak RM30 juta. 

Justeru dengan jumlah geran yang besar itu, beliau optimis MPP akan dapat menyelenggara lebih banyak jalan dan kemudahan lain di kawasan seliaannya dengan baik. 

Beliau menambah, geran tersebut juga adalah yang paling besar diterima MPP setakat ini, yang pengagihannya diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani. 

Katanya, pada tahun lepas MPP hanya menerima geran daripada kerajaan persekutuan itu sebanyak RM17 juta, manakala tahun sebelumnya RM12 juta. 

Terdahulu, Lo mengumumkan bahawa MPP kini telah dianugerahkan pensijilan ISO 9001:2015 daripada SIRIM, bagi sistem pengurusan berkualiti. 

Beliau berkata pensijilan tersebut yang diterima semalam adalah sah bermula 12 Disember 2016 sehingga 11 Disember 2020.

No comments:

Post a Comment