22 December 2014

Ambil berat kebersihan pekarangan rumah untuk banteras aedes


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Ambil berat kebersihan pekarangan rumah untuk banteras aedes

Utusan Borneo Online: 2014-12-21

KUCHING: Kerja membersihkan pekarangan rumah dalam usaha membanteras nyamuk aedes tidak harus
dipandang remeh. 
 
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, program sedemikian amat bermakna dalam membantu pihak berkuasa dalam memerangi denggi. 

“Kita harus memahami kepentingan membersihkan persekitaran sebagai langkah berjaga-jaga menentang denggi kerana ia amat penting. Jadi, dalam kes ini kita perlu bekerjasama,” katanya ketika merasmikan gotong-royong antidenggi di Kampung Anah Rais, kira-kira 65 kilometer dari sini, semalam. 

Respons daripada penduduk kampung bagi program gotong-royong yang dianjurkan MPP itu amat memberangsangkan. 

Lo berkata, orang ramai tidak harus bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan untuk menganjurkan kempen sedemikian, tetapi perlu memulakan inisiatif sendiri untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk. 

Setakat ini, sebanyak 102 kerja pengasapan nyamuk dilakukan di kawasan pentadbiran MPP, katanya sambil menambah, sebanyak 71 kes denggi dicatatkan tahun ini. 

Walaupun Kampung Anah Rais merupakan destinasi pelancongan yang bebas daripada demam denggi, Lo berkata penduduk perlu membersihkan kawasan masing-masing dari semasa ke semasa. 

Sementara itu, pengerusi penganjur Kr Edward Kurik turut mencadangkan agar penduduk mengadakan kempen membersihkan kampung sekali dalam jangka masa tiga bulan, manakala individu boleh memulakan inisiaitf sendiri untuk membersihkan kawasan masing-masing. 

“Kita perlu memberikan komitmen berterusan dalam membersihkan kampung dan mengekalkan persekitaran bersih,” katanya. 

Hadir sama, Setiausaha MPP Andrew Joris dan Ketua Kampung Anah Rais Alex Man Nya.

No comments:

Post a Comment