04 March 2014

Masyarakat di kawasan MPP bakal dapat perkhidmatan berkesan


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Masyarakat di kawasan MPP bakal dapat perkhidmatan berkesan

Utusan Borneo Online: 2014-03-03 

KUCHING: Masyarakat di kawasan seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bakal mendapat perkhidmatan yang berkesan daripada kaunselor masing-masing terutama dalam menyelesaikan isu-isu penting. 

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata ia sejajar dengan inisiatif MPP dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan membahagikan kawasan spesifik kepada setiap 31 kaunselornya. 

Dengan itu, jelas beliau setiap kaunselor harus mengenal pasti isu yang paling berkaitan untuk diselesaikan di kawasan masing-masing terutama di luar bandar. 

“Bekalan elektrik, air atau lampu jalan mungkin bukan keutamaan yang boleh diberikan kepada penduduk luar bandar tetapi yang paling penting ialah jalan raya. 

“Saya berharap, setiap kaunselor MPP akan dapat memikirkan demikian dan mengenal pasti apa isu yang paling berkaitan untuk diselesaikan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Beliau ditemui semasa mengadakan lawatan ke kawasan projek bekalan air bersih di Sungai Moyan Segah Lorong 6, semalam. 

Terdahulu, Lo menjelaskan bahawa MPP telah mengambil inisiatif membahagikan kawasan spesifik kepada 31 kaunselornya dan mereka juga harus menubuhkan Jawatankuasa Penduduk (JKP) di kawasan masing- masing. 

Tambah beliau semua kaunselor tersebut akan ditugaskan untuk melihat sepenuhnya di kawasan spesifik masing-masing agar dapat memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat. 

“Dengan itu, keseluruhan kawasan MPP akan mendapat perkhidmatan yang baik,” katanya.
Kaunselor MPP termasuk Lo adalah seramai 12 orang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sembilan orang daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga orang masing-masing daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta empat orang daripada NGO.

No comments:

Post a Comment