04 March 2014

Kesabaran tunggu bekalan air bersih tidak sia-sia


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Kesabaran tunggu bekalan air bersih tidak sia-sia


2014-03-03


Penduduk di Sungai Moyan Segah Lorong 6, dijangka menikmati kemudahan asas itu dalam tempoh terdekat 

KUCHING: Kesabaran menunggu lebih dua tahun untuk mendapatkan bekalan air bersih nyata tidak sia-sia bagi penduduk di Sungai Moyan Segah Lorong 6, dekat sini apabila mereka dijangka menikmati kemudahan asas itu dalam tempoh terdekat. 

Pada masa ini, kerja penyambungan paip sepanjang 500 meter ke kawasan berkenaan sedang giat dijalankan sejak minggu lepas dan menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, ia dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi. 

Jelas beliau, projek berkenaan dilaksanakan oleh Lembaga Air Kuching (LAK) dengan kos sebanyak RM160,000. 

“Saya amat berterima kasih kepada LAK kerana menunaikan harapan penduduk di sini untuk menikmati bekalan air bersih,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke kawasan projek berkenaan, semalam. 

Kini hanya terdapat empat buah rumah di Sungai Moyan Segah Lorong 6 tetapi pemilik tanah di situ adalah seramai lebih 10 orang. 

Berbeza dengan kawasan lain di sekitarnya, cuma Sungai Moyan Segah Lorong 6 sahaja yang tidak disalurkan dengan air bersih sebelum ini menyebabkan penduduk di situ perlu bergantung kepada air hujan. 

Justeru, Lo amat menghargai kesabaran yang ditunjukkan penduduk di kawasan itu. 

“Penduduk di sini tidak ‘bising’ kerana mereka percaya kerajaan akan melakukannya (menyediakan bekalan air bersih) dan kesabaran mereka akhirnya tidak sia-sia apabila akan menikmati kemudahan ini tidak lama lagi,” katanya. 

Dengan bekalan air bersih tersebut, penduduk di Sungai Moyan Segah Lorong 6 kini menikmati kemudahan &

asas yang lengkap kerana mereka sudah dilengkapi dengan bekalan elektrik dan jalan raya.
Salah seorang penduduk Chong Boon Kiam, 65, berkata dia sangat gembira dengan kemudahan tersebut. 

Bekerja sebagai petani, Chong bersama keluarganya telah tinggal di situ selama 25 tahun.
Sehubungan itu, Lo kemudian menyeru penduduk di kawasan MPP supaya bersabar dalam menyelesaikan isu di kawasan masing-masing. 

“Tidak dinafikan, terdapat banyak isu di kawasan MPP tetapi ia harus diselesaikan menerusi saluran yang betul di mana kita berbincang dan melakukan perancangan untuk menyelesaikannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment