07 January 2014

Penutupan ‘laluan pintas’ ke pasar basah Kota Sentosa kekal


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Penutupan ‘laluan pintas’ ke pasar basah Kota Sentosa kekal

% 2014-01-07
KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tetap mengekalkan pelan mereka menutup ‘laluan pintas’
menuju ke pasar basah di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di situ. 
 
Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, pihaknya tidak boleh membukanya semula begitu sahaja hanya berdasarkan aduan yang dikemukakan oleh ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen. 

Dalam pada itu, Lo berkata MPP juga telah meminta bantuan polis untuk mengawal aliran trafik di situ tetapi jika kesesakan tidak menampakkan tanda pengurangan, maka pihaknya akan mencari langkah lain untuk mengatasinya. 

“Kami memberi tempoh sebulan untuk melihat sama ada situasi di situ semakin baik dan jika kami salah, kami akan mencari langkah lain untuk mengatasinya,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Chong dan ADUN Batu Kawa Christina Chiew di ibu pejabat MPP, Kota Padawan dekat sini semalam. 

Dalam pertemuan tersebut, Chong telah diberikan taklimat oleh perunding projek L&P Associates mengenai fasa pertama Cadangan Penambahbaikan Peredaran Trafik di Kawasan Komersial Kota Sentosa. 

Cadangan tersebut telah dikemukakan kepada jawatankuasa berkaitan majlis pada Oktober dan November 2011 serta Januari, April dan Ogos 2012 sebelum pelaksanaan. 

Dalam pada itu, Lo turut menjelaskan kepada Chong dan Chiew mengenai pelan trafik dan situasi di Kota Sentosa. 

Bagaimanapun, Chong yang juga Pengerusi DAP Negeri dan Ahli Parlimen Bandar Kuching menegaskan adalah tidak sewajarnya MPP bergantung kepada polis untuk secara langsung mengawal aliran trafik di situ. 

“Berapa lama untuk MPP meminta polis berbuat demikian... polis boleh berada di situ pada satu hari tetapi tidak setiap hari. 

“Semua pelan adalah tertakluk kepada pindaan untuk memudahkan aliran trafik,” katanya. 

Selain itu, Chong turut mendesak supaya MPP membuka semula laluan pintas tersebut dengan mendakwa konon ia menyebabkan kesesakan yang teruk selepas ditutup. 

Laluan pintas di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa telah ditutup pada Disember tahun lepas. 

Selepas seminggu, Chong telah menulis surat kepada MPP untuk memohon agar aliran trafik lama dikembalikan. 

Difahamkan, sebanyak 3,000 kenderaan bergerak di kawasan Kota Sentosa bagi tempoh setiap satu jam.

No comments:

Post a Comment