29 December 2017

Tender ditamat, disenarai hitam jika serah projek kepada subkontraktor: Lo



Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Tender ditamat, disenarai hitam jika serah projek kepada subkontraktor: Lo

2017-12-28

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tidak akan berkompromi untuk menamatkan tender sekali gus
menyenarai hitam kontraktor dilantik yang menyerahkan projek kepada subkontraktor untuk dilaksanakan. 
 
Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata tindakan tegas itu diambil untuk menambah baik kualiti kerja kontraktor serta memastikan setiap projek MPP dilaksanakan dengan baik untuk manfaat rakyat. 

Jelas beliau, ia memandangkan selama ini pelaksanaan projek-projek MPP sering mendapat aduan daripada orang awam berhubung kualiti yang tidak memuaskan disebabkan tindakan kontraktor yang tidak melaksanakan sendiri projek yang diperolehi, sebaliknya menyerahkan kepada subkontraktor untuk menyiapkannya. 

“Kami bersikap adil kepada semua kontraktor tetapi kalau mereka memanipulasikan projek dengan menjual kepada kontraktor lain atau menyerahkan kepada subkontraktor, kami tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak serta menyenarai hitam mereka bagi tempoh dua tahun. 

“Maklumat berkaitan kontraktor tersebut juga akan disenaraikan dalam laman sesawang MPP,” katanya pada Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Akuan Pembina Yang Berjaya, di ibu pejabat MPP, Kota Padawan dekat sini semalam. 

Majlis membabitkan 26 kontraktor yang berjaya membida projek MPP bagi tahun depan itu turut disaksikan Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim serta Pemangku Setiausaha MPP Noraisah Morshidi. 

Justeru, Lo berkata setiap kontraktor adalah diwajibkan menandatangani akuan pembina bahawa mereka tidak boleh menyerahkan atau subkontrak sepenuhnya atau sebahagian daripada projek kecuali membabitkan kerja- kerja pakar namun ia juga perlu mendapatkan kelulusan daripada majlis. 

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang itu, ia juga untuk menghapus budaya kontraktor Ali Baba dalam pelaksanaan projek-projek MPP termasuk bagi kerja pemotongan rumput, pembersihan parit dan longkang, penyelenggaraan jalan dan sebagainya. 

“Kami hanya akan menggunakan perkhidmatan kontraktor yang paling baik sahaja dan saya pasti, budaya kontraktor Ali Baba ini bukan hanya tidak mahu dilihat oleh MPP tetapi juga kerajaan negeri. 

“Sebab itu, kami akan menilai dengan teliti untuk mendapatkan kontraktor yang layak dan kalau rekod kontraktor tidak bagus, kami tidak akan memberi walau sekecil mana pun projek itu,” katanya. 

Dalam pada itu, Lo berkata kontraktor yang berjaya juga harus meletakkan nama penyelia mereka di setiap tapak projek bagi memudahkan orang ramai membuat aduan secara terus dan pada masa sama, mengambil tindakan segera untuk mengatasi sebarang risiko keselamatan kepada orang ramai dalam sepanjang tempoh pembinaan. 

Selain itu, katanya kontraktor turut perlu mengemukakan Pelan Pengurusan Keselamatan Trafik untuk memastikan keselamatan pekerja mereka dan orang awam semasa kerja-kerja pembinaan. 

Malah, beliau berkata Pelan Pengurusan Kualiti juga harus dikemukakan kepada majlis untuk memastikan kerja- kerja yang dilaksanakan adalah mengikut spesifikasi dan memenuhi keperluan yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment