KUCHING: Masalah kesihatan mental yang membawa kepada kemurungan di kalangan warga emas perlu ditangani segera kerana ia semakin merisaukan.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, kajian di negara ini menunjukkan kadar kemurungan di kalangan warga emas adalah antara 6.3 hingga 30.1 peratus.
“Walaupun masalah kesihatan mental adalah biasa pada warga emas, ia sentiasa tidak dikesan dan tidak dirawat.
“Penyakit ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan kemerosotan fungsi warga emas, beban kepada sistem penjagaan kesihatan dan penurunan kualiti hidup warga emas serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang disampaikan Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim sempena Kempen Kesedaran Kesihatan Mental 2017 anjuran Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, Unit Psikitiari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di pejabat MPP, Kota Padawan dekat sini kelmarin.
Turut hadir pakar psikiatri selaku pengerusi penganjur Dr Gan Chee Kuan, Pakar Perunding Kanan Psikogeriatrik dan Pengarah Hospital Sentosa merangkap Timbalan Pengerusi Persatuan Kesihatan Mental Sarawak Dr Ismail Drahman, Pakar Perunding Kanan Psikiatri Remaja dan Kanak-Kanak merangkap Ketua Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri HUS Dr Selvasingam Ratnasingam, Pakar Perunding Psikiatri selaku Timbalan Pengarah Hospital Sentosa Dr Rosliwati Md Yusuff dan Pakar Psikiatri HUS Dr Azizah Saie.
Selain itu, Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata demensia juga merupakan masalah kesihatan mental yang lazim di kalangan warga emas yang turut membimbangkan.
Katanya ciri-ciri demensia ialah kemerosotan ingatan dan keupayaan intelektual serta gangguan fungsi seperti komunikasi dan penjagaan diri.
Tambah beliau, kadar demensia adalah kira-kira satu peratus pada usia 60 tahun dan kadarnya akan berlipat ganda setiap lima tahun.
Malah, katanya satu kajian tempatan turut menunjukkan kadar demensia di Malaysia adalah 14.3 peratus.
“Malaysia mungkin kurang bersedia untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dan penjagaan yang berkualiti untuk warga emas dengan penyakit mental.
“Cabaran-cabaran dalam menangani penyakit ini di kalangan warga emas termasuk kesedaran yang terhad terhadap penyakit mental itu sendiri, kewujudan stigma, tahap penggunaan perkhidmatan kesihatan yang rendah, urbanisasi dan penghijrahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment