18 November 2016

Kurang wakil rakyat BN jejas MRP kepada Cina


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Kurang wakil rakyat BN jejas MRP kepada Cina


2016-11-17 KUCHING: Kurangnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) daripada komuniti Cina menjadi kekangan untuk menyumbang bantuan melalui projek kecil luar bandar (MRP) kepada masyarakat atau persatuan yang memerlukan. 

Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, komuniti Cina tidak mempunyai ramai wakil rakyat BN seluruh negeri setakat ini. 

Menurutnya saban tahun, terlalu banyak permohonan geran MRP kepada wakil rakyat tetapi tidak seimbang dengan jumlah wakil rakyat BN yang ada. 

“Di Kuching, kita ada Datuk Dr Sim Kui Hian (ADUN Batu Kawa dan Menteri Kerajaan Tempatan) dan Lo Khere Chiang (ADUN Batu Kitang) untuk mendapatkan geran. 

“Sementara di Sibu pula hanya saya dan Datuk Tiong Thai King (ADUN Dudong). Tidak ramai wakil rakyat kaum Cina di seluruh negeri maka itu geran MRP juga kurang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran MRP berjumlah RM114,000 kepada 15 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan di pejabatnya di sini, semalam. 

Wong yang juga ADUN Bawang Assan berkata, geran MRP hanya diberikan kepada wakil rakyat BN dan wakil rakyat pembangkang tidak layak mendapat peruntukan itu. 

Tambah beliau, malahan mereka menerima permohonan yang banyak bukan sahaja dari Kuching dan Sibu tetapi dari Bintulu, Miri malahan hingga ke Limbang. 

“Saya membuat yang terbaik dengan menyerahkan khasnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan terlebih dahulu. 

“Pada hari ini, ia mungkin bukan jumlah yang dijangkakan penerima tetapi saya berusaha untuk membantu dan jika mereka masih memerlukan, mereka boleh memohon lagi kepada saya,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment