Lo cabar Perdana Menteri beri referendum kepada Sarawak
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang mencabar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi referendum bagi menentukan sama ada rakyat Sarawak mahu kebebasan atau sebaliknya.
“Biarkan Sarawak membuat keputusan,” tegasnya semasa membahaskan Belanjawan Sarawak 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri menyatakan Sabah dan Sarawak tidak mahu kemerdekaan, hanya autonomi semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-73 di New York selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei lepas.
Lo berkata, Sarawak boleh dikatakan sebagai tanah jajahan Malaysia apabila Kerajaan Persekutuan terang-terangan mengabaikan dan menentang kehendak dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Bagaimana lagi kita boleh menjelaskan betapa mereka mementingkan diri daripada pendapatan bersih secara tahunan hasil minyak RM15 bilion dan RM45 bilion hasil gas yang diperolehi dari Sarawak, tetapi hanya lima peratus dikembalikan kepada kita (Sarawak)?," soalnya.
Menurutnya, rakyat Sarawak memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam usaha mendapatkan semula kawalan ke atas sumber minyak dan gas serta meneruskan pengembalian hak-hak kita seperti yang termaktub di bawah MA63.
“Cukuplah. 56 tahun eksploitasi Semenanjung Malaysia terhadap sumber minyak dan gas kita harus dihentikan sekarang,” tegas Lo.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan di mana janji Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan autonomi Sarawak dalam pendidikan dan kesihatan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan menolak tawaran Kerajaan Negeri untuk membaiki lebih 1,000 sekolah yang usang, tetapi sebaliknya meminta Kerajaan Negeri untuk memulangkan RM350 juta kepada mereka terlebih dahulu, yang dilakukan tanpa berlengah-lengah.
“Bagaimanapun hingga hari ini, masih belum ada RM1 bilion untuk membaiki sekolah usang di Sarawak,” ujarnya.
Katanya, Belanjawan Persekutuan 2020 menyatakan bahawa RM783 juta diperuntukkan untuk sekolah usang di seluruh negara.
“Namun sehingga kini, hanya RM100 juta dsediakan untuk sekolah-sekolah di Sarawak,” jelasnya sambil bertanya sama ada jika Kerajaan Sarawak diperdaya untuk memulangkan RM350 juta hanya untuk mendapatkan RM100 juta bagi sekolah usang di negeri ini.
Dalam pada itu, Lo memberitahu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) telah menandatangani bandar persahabatan dengan Yantai, Huangshi, Linyi dari China serta Guemsungun dari Korea.
Baru-baru ini, ujarnya, Sarawak juga menandatangani bandar persahabatan dengan wilayah Shandong yang dipimpin oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
“Justeru saya memohon agar Kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk memberi pas pelancongan khas kepada mereka yang datang dan tinggal di Sarawak selama enam bulan atau lebih untuk mengelak cuaca musim sejuk di negara masing-masing,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment