29 January 2019

Tingkatkan keselamatan di laluan Pan Borneo

PADAWAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo akan bekerjasama dalam meningkatkan tahap keselamatan di laluan itu pada musim perayaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof, berkata langkah itu perlu berikutan kerja-kerja pembinaan sedang rancak dijalankan di sepanjang laluan berkenaan.
Justeru, katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak diarah mengadakan perbincangan dengan semua pemaju yang terbabit dalam 11 pakej projek mega itu dari Sematan hingga Lawas.
“Kita perlu meneliti langkah perlu untuk memastikan pemanduan selamat kerana laluan berkenaan sentiasa sibuk dengan kerja pembinaan, selain peningkatan jumlah kenderaan yang melaluinya pada musim perayaan ini.
“Keadaan laluan itu ketika ini belum sempurna dan pengguna kenderaan perlu lebih berwaspada,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Op Selamat 14 Sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Bola Keranjang Siburan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu.
Azman berkata, ketika ini sebanyak 17 lokasi panas yang kerap berlaku kemalangan maut dikenal pasti di laluan berkenaan.
Tahun lalu, katanya, jumlah kemalangan jalan raya yang rekodkan di negeri ini adalah sebanyak 20,600 dan ia meningkat berbanding 19,832 kes yang dicatatkan pada 2017.
“Tetapi jumlah kematian menurun tahun lalu iaitu 321 kes berbanding 373 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Katanya, Op Selamat sempena musim perayaan di Sarawak dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai’ bukan sahaja tertumpu kepada keselamatan pengguna jalan raya, malah ia turut dilaksanakan di laut dan sungai yang masih menjadi laluan perhubungan penduduk negeri ini.
“Sesuai dengan temanya, kita mahu memastikan rumah yang ditinggalkan penghuni sempena cuti perayaan juga selamat daripada kegiatan jenayah.
“Untuk itu, orang ramai harus memaklumkan kepada polis dengan mengisi borang yang disediakan di balai sebelum mereka meninggalkan kediaman,” katanya. – Berita Harian Online 

No comments:

Post a Comment