24 February 2015

Tepi jalan dijadikan tempat timbunan sampah


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Tepi jalan dijadikan tempat timbunan sampah

% 2015-02-23 

KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab masyarakat yang suka membuang sampah di merata tempat. 

Lebih menyedihkan apabila ada segelintir masyarakat yang tanpa rasa bersalah menjadikan kawasan tepi jalan yang merupakan laluan awam sebagai tempat timbunan sampah mereka. 

Jelas Lo, tabiat buruk seperti ini bukan sahaja mencemarkan keindahan persekitaran malah memberi gambaran buruk kepada masyarakat luar terhadap imej negeri ini. 

“Pihak majlis membelanjakan RM700,000 bagi kerja-kerja pengumpulan sampah oleh Trienekens setiap bulan. 

“Mengapa begitu susah untuk masyarakat mengumpul dan membungkus sampah mereka dengan baik di tempat yang disediakan untuk dikutip oleh Trienekens. 

“Tanggungjawab menjaga kebersihan bukan sahaja terletak di bahu MPP sebaliknya masyarakat juga harus bersama-sama menjaga kebersihan demi manfaat bersama,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati bahu jalan di beberapa kawasan perumahan di sekitar kawasan Matang di bawah pentadbiran MPP dijadikan sebagai tempat longgokan sampah secara haram oleh penduduk. 

Antara tempat yang menjadi sasaran penduduk ialah simpang masuk ke Taman Yen Yen, Matang dan di kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sri Makmur Matang di sini bersebelahan Lorong Twin One Avenue. 

Kesal dengan tabiat buruk masyarakat, Lo berkata usaha perlu dilakukan bagi menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan. 

Di peringkat sekolah, MPP menurut Lo telah mengadakan kempen kebersihan dengan jayanya di tiga sekolah di Matang Jaya, Sejijak dan Batu 10. 

Sehubungan itu, beliau menggalakkan semua sekolah mengadakan kempen yang sama secara aktif bagi meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan menjaga kebersihan.

No comments:

Post a Comment