Perlahankan kenderaan ketika lalu jalan berhampiran RCBM: Lo
KUCHING: Pengguna jalan raya digesa untuk memperlahankan kenderaan dan mengutamakan keselamatan orang ramai semasa melalui Jalan Puncak Borneo di sini, terutamanya berhampiran Hospital Rajah Charles Brooke Memorial (RCBM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, kereta dan kenderaan berat dilihat melalui jalan itu pada kadar kelajuan yang membimbangkan, terutamanya mereka yang menuruni cerun dari arah Kuching menuju ke Puncak Borneo.
Menurutnya, perbuatan memandu laju di sepanjang jalan ini mengancam nyawa pejalan kaki yang meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta Persatuan Warisan Hospital RCBM baharu dan hendak melintas ke Hospital RCBM di seberang.
Malah katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah berbesar hati meletakkan lintasan zebra untuk memudahkan pejalan kaki melintasi jalan itu.
Turut menyuarakan kebimbangan sama mengenai perkara ini adalah Presiden Pertubuhan Warisan Hospital Memorial Rajah Charles Brooke (HSoRCBMH) Angelina Jong.
Beliau tidak berpuas hati kerana walaupun tempat letak kereta luas telah disediakan oleh pihaknya kepada orang ramai yang berkunjung ke Hospital RCBM, masih terdapat pemandu ingkar dan berdegil meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan utama.
Perkara ini katanya, menghalang pandangan pemandu yang keluar dari Hospital RCBM dan akibat kelakuan tidak bertanggungjawab ini, banyak kemalangan telah berlaku di situ.
Malah, Angelina mengingatkan orang ramai bahawa tempat letak kereta baharu Persatuan Warisan Hospital RCBM hanya boleh diakses oleh pemandu yang turun ke Hospital RCBM dari arah Kuching.
Pemandu yang datang dari arah Puncak Borneo tidak dibenarkan membelok ke kanan iaitu ke tempat letak kereta kerana terdapat garisan berkembar di sana.
Kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ini akan menimbulkan bahaya bagi mereka yang memandu menuruni cerun dari Kuching.
Menurutnya juga, walaupun terdapat papan tanda amaran dipasang di situ, ramai pemandu memilih untuk tidak mengendahkannya.
Angelina juga menambah, orang ramai terutamanya mereka yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta baharu Pertubuhan Warisan Hospital RCBM digesa menjaga kebersihan kawasan tersebut.
Tempat letak kereta katanya, adalah percuma untuk semua tetapi pihaknya berharap orang ramai juga boleh lebih berfikiran sivik dan bertanggungjawab ke arah memastikan tempat itu bersih untuk digunakan oleh semua orang.
Tegas Angelina, tempat letak kereta Hospital RCBM telah dimulakan oleh HSoRCBMH, yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak berorientasikan keuntungan.
Tiada dana khusus untuk membersihkan dan menyelenggara tempat letak kereta itu, justeru adalah menjadi harapan pihaknya agar orang ramai dapat membantu dalam menguruskan tempat itu dengan baik.
No comments:
Post a Comment