PRU15: Hantar semua 31 calon GPS ke Parlimen, kata Lo
KUCHING, 9 Nov: Sarawak perlu menghantar semua 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) ke Parlimen selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut calon GPS di kerusi Parlimen P196 Stampin Lo Khere Chiang, rakyat harus memilih semua calon GPS kerana jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada Sarawak adalah kecil jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.
“Kita mesti sokong GPS; sokong parti lain seperti parti dari semenanjung untuk apa?
“Mereka sudah ada banyak wakil rakyat di Parlimen, majoriti daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi adalah milik parti dari semenanjung.
“Kita Sarawak hanya ada 31 kerusi sahaja, tidak cukup, oleh sebab itu kita mesti hantar semua 31 calon GPS ke Parlimen,” katanya.
Lo berkata demikian ketika ditemui di Penangguhan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika/Tadika KEMAS di Kampung Tematu di sini, hari ini.
Tambah Lo yang juga Adun Batu Kitang, kini tiba masanya GPS merampas semula kerusi Parlimen Stampin.
Katanya, pada Pilihan Raya Negeri yang lepas, GPS berjaya memenangi kerusi DUN Kota Sentosa selain kekal menguasai Batu Kitang dan Batu Kawah.
Jelas beliau, kejayaan itu menunjukkan rakyat menghargai khidmat yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat GPS.
“Saya fikir tiba masanya kita ambil semula Stampin kerana dari apa yang kita sudah lakukan selama ini, kita rasa boleh melakukan yang lebih baik untuk rakyat.
“Kita boleh bawa banyak lagi pembangunan ke Stampin, ” ujar Lo. — DayakDaily
No comments:
Post a Comment