17 May 2022

Sarawak terus cari jalan tingkatkan ekonomi

Sarawak terus cari jalan tingkatkan ekonomi

PERIKSA… Warga Kuching menerima sesi pemeriksaan keshihatan percuma di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Arang, Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus mencari jalan untuk meningkatkan ekonominya sementara dalam perundingan menuntut lebih banyak hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahu untuk mencari hasil tambahan bagi meningkatkan ekonominya.

“Pemimpin kita tahu bahawa kita tidak boleh melakukan pendekatan konfrontasi dengan Tanah Melayu (Malaya) tetapi melakukan pendekatan rundingan untuk berunding bagi mendapatkan kembali apa yang patut kepada kita melalui peraturan dan undang-undang.

“Pada masa yang sama, Premier kita sangat bijak dan beliau tahu bagaimana untuk mencari wang. Dan jika kita mempunyai wang, penduduk kita akan hidup dengan selesa.

“Tambahan pula, jika kita ada wang, kita ada kekuatan politik. Kuasa rundingan kita juga bertambah baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Bicara dan Saringan Kesihatan di Gelanggang Bola Keranjang Tertutup, Taman Flora Indah, Jalan Arang, di sini, semalam.

Menjelas lanjut, beliau berkata di bawah Abang Johari, empangan hidroelektrik Bakun kini berada di bawah kawalan penuh Kerajaan Negeri dan ia membantu negeri menjana sedikit pendapatan.

“Seperti yang kita sedia maklum, empangan Bakun kini 100 peratus milik Sarawak dan ia memberi kita lebih daripada RM1 bilion setiap tahun. Selain itu, Sarawak Energy juga kini bekerjasama dengan Indonesia untuk membantu mereka membina lebih banyak empangan.

“Sama seperti Singapura, mereka tidak mempunyai pokok, tidak mempunyai minyak dan gas, tetapi mereka menjual pengetahuan mereka, jadi Sarawak melakukan perkara yang sama di mana kita menjual pengetahuan dan kepakaran kita kepada Indonesia untuk membantu mereka membina empangan,” tambah Lo.

Dedahnya lagi, Sarawak mempunyai pengeluaran hidrogen dan metanol yang akan datang dalam masa terdekat.

“Dengan hidrogen sahaja, Sarawak bekerjasama dengan Korea untuk menghasilkan hidrogen dan hidrogen boleh dimampatkan menjadi cecair yang kemudiannya boleh dieksport ke Korea, Jepun, China dan bahagian lain di dunia.

“Kita boleh melakukannya dan menghasilkan duit dan inilah yang sedang dilakukan oleh Premier kita. Itulah kebijaksanaan yang dimiliki oleh Premier kita,” jelasnya.


https://www.utusansarawak.com.my/?p=32000

No comments:

Post a Comment