Sarawak Pay rekod lebih 100 ribu transaksi sejak diperkenalkan 2017
KUCHING: Aplikasi pintar dompet elektronik (e-dompet), Sarawak Pay yang diperkenalkan kerajaan negeri pada 2017 kini mencatat transaksi keseluruhan berjumlah 172,429 setakat 28 April tahun ini.
Perkara itu didedahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, nilai keseluruhan transaksi tersebut berjumlah RM14, 199, 124.53.
"Malah, setakat 28 April tahun ini, seramai 68,500 penguna berdaftar dengan aplikasi Sarawak Pay ini selain 2,400 syarikat komersial di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sarawak Pay di KK Super Mart di Jalan Liu Shan Bang, Batu 7 di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, jumlah mereka yang berdaftar dan menggunakan aplikasi Sarawak Pay meningkat setiap hari.
"Ini menunjukkan masyarakat kita dan peniaga sudah menukar cara hidup yang lebih moden seiring dengan kemajuan teknologi masa kini," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Singapura Net dan Union Pay, China bagi melaksanakan pembayaran pintar menerusi telefon di negara tersebut.
Namun, jelasnya, ia masih menunggu kelulusan daripada Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa berkaitan di dua negara berkenaan.
Tambahnya, jika perkara itu sudah mendapat kelulusan dan mempunyai kedudukan yang sah, ia memudahkan rakyat untuk berbelanja tanpa memerlukan wang tunai semasa melancong di dua negara ini termasuk pelancong dari dua negara berkenaan yang melancong ke negeri ini.
"Hanya perlu gunakan telefon bimbit anda sahaja untuk menyelesaikan bil hotel, kedai makan dan sebagainya yang menggunakan aplikasi pintar ini," katanya lagi.
Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abd Ghani, Pengerusi Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak, Pengerusi Eksekutif KK Super Mart Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan tetamu kehormat lain.
No comments:
Post a Comment