12 August 2015

SHEDA mahu jalin kerjasama pintar dengan PBT, kata Tony


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » SHEDA mahu jalin kerjasama pintar dengan PBT, kata Tony

Utusan Borneo Online: 2015-08-11 

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Harta Tanah Sarawak (SHEDA) mahu menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meningkatkan lagi tahap kecekapan sistem penyampaian kedua-dua pihak. 

Timbalan Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching Tony Su berkata sehubungan itu, SHEDA mencadangkan agar mesyuarat bulanan PBT dan sebagai permulaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dihadiri wakil persatuan serta konsultan profesional. 

“SHEDA setiasa mahu menjalinkan kerjasama pintar antara ahli, pihak berkuasa dan orang awam untuk mencapai tahap kecekapan tinggi serta hasil positif,” kata Su. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa SHEDA Cawangan Kuching diketuai Pengerusinya Dr Christopher Sim mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengerusi MPP Lo Khere Chiang di bangunan MPP semalam. 

Su menambah, berkongsi dan pada masa sama menambah baik prosedur operasi standard (SOP) yang memberi kesan kepada industri hartanah antara SHEDA dan PBT sangat penting.
“Dalam hal ini kami (SHEDA) amat berharap pelbagai PBT akan memberi sokongan padu dan terus bekerjasama dengan kami,”tambahnya. 

Sementara itu Lo memberi jaminan bahawa MPP sentiasa bersedia mendengar sebarang pertanyaan atau cadangan untuk menambah baik sistem pentadbirannya. 

“Sekiranya cadangan itu dapat memperbaiki dasar-dasar sedia ada, idea baharu itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat penuh majlis untuk diperhalusi seterusnya mungkin diguna untuk meminda dasar-dasar sedia ada. 

“Cadangan membina yang dapat memastikan keberkesanan pentadbiran MPP adalah dialu-alukan bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada setiap pihak,” katanya. 

Menurut Lo, MPP baru-baru ini meminda dasar pengeluaran Permit Kependudukan (OP) yang tidak lagi memerlukan sokongan daripada semua ahli majlisnya. 

Sebaliknya kata beliau, OP kini ditandatangani dan diendors terus oleh setiausaha majlis, yang ternyata mempercepatkan lagi proses permohonan.

No comments:

Post a Comment