29 January 2015

Rumah konkrit baharu hadiah TBC


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Rumah konkrit baharu hadiah TBC

% 2015-01-28
Oleh Nick Fletcher// 



KUCHING: Mendapat sebuah rumah konkrit baharu adalah hadiah Tahun Baharu Cina (TBC) yang sangat besar dan bermakna bagi Jong Nit Shin sekeluarga setelah lebih 12 tahun tinggal di sebuah rumah kecil dan usang di Skim Penempatan Semula Stapok, di sini. 

Penyerahan rumah yang dibina oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Lorong 15, Skim Penempatan Semula Stapok itu disempurnakan oleh Pengerusinya, Lo Khere Chiang semalam selepas ia siap dibina pada Disember 2014. 

“Terima kasih kepada MPP dan pihak kerajaan yang terlibat kerana telah memberikan kami sekeluarga sebuah rumah yang begitu baik dan selesa. 

“Kami berasa sangat gembira dan terharu di atas pemberian rumah ini. Tambahan, Tahun Baharu Cina bakal menjelang dan kami akan dapat menyambutnya dengan lebih selesa. 

“Selain itu, anak-anak juga akan dapat belajar di rumah dengan keadaan yang lebih selesa,” kata isteri Jong, Helen Dawie ketika ditemui selepas menerima kunci rumah baharu mereka daripada Lo pada majlis itu. 

Jong yang bekerja sebagai buruh binaan dan Helen, suri rumah, mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah dan telah berdaftar dengan e-Kasih. 

Mereka sekeluarga sudah lama tinggal di sebuah rumah kayu yang daif terletak di belakang rumah baharu mereka yang dibina di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Kos pembinaan rumah konkrit satu tingkat itu ialah RM50,000 dengan mempunyai keluasan lantai kira-kira 600 kaki persegi dan lengkap dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, ruang makan/ dapur serta bilik air/ tandas. 

Sementara, Lo turut me-nyuarakan rasa gembira dan bangga atas usaha MPP dalam memainkan peranan membantu keluarga Jong.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada MPP untuk melaksanakan usaha murni seperti ini. 

“Diharapkan, kerajaan akan meneruskan program ini bagi membantu lebih ramai lagi golongan miskin bandar,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Pengerusi MPP Dr Zaiedi Suhaili.

No comments:

Post a Comment