18 June 2014

Penjaja haram beri cabaran kepada MPP

Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Penjaja haram beri cabaran kepada MPP

2014-06-17 Oleh Henrietta Liza //
Ia berikutan kegiatan mereka di kaki lima, parkir, letak bidai pintu secara haram 

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) sedang menghadapi krisis paling sukar berikutan kegiatan penjaja haram yang berjaja di kaki lima, kawasan parkir dan meletakkan bidai pintu kedai secara haram di sekitar Kota Sentosa. 

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang menyifatkan ia ibarat jangkitan yang sukar dirawati, menunggu saat bertukar menjadi kanser dan tidak dapat diubati lagi selepas menghadapinya lebih daripada 30 tahun lepas. 

“Aduan dibuat bukan setiap hari tetapi pihak MPP menerima aduan sepanjang tahun daripada rakyat, kami telah mengadakan sesi dialog sejak awal Jun kepada para pekedai dan mereka yang terlibat. 

“MPP turut menyeru pekedai dan penjaja ini untuk bertolak-ansur dan memberi kerjasama serta berfikiran positif dalam membantu pihak majlis menyelaraskan pembangunan bandar dengan lebih teratur dan sistematik,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Tambah Lo, ia merupakan kali pertama pihaknya mengeluarkan 125 notis kepada mereka yang terlibat dan dijangka pelaksanaan operasi berkenaan melibatkan pegawai penguat kuasa MPP dengan kerjasama polis, SEB, JKR, bomba serta Jabatan Tanah dan Survei. 

Mana-mana pohak yang cuba mengganggu, menghalau atau menghentikan operasi akan disabitkan dengan tindakan undang-undang pihak majlis yang membolehkan pesalah dipenjarakan jika didapati bersalah. 

Menurut Lo, walaupun telah berkali-kali mengadakan sesi dialog dengan mereka yang terjejas namun masih ada yang berdegil. 

Beliau memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan cuba bersabar dan meyakinkan para penjaja agar tidak mementingkan diri sendiri. 

Sebaliknya mereka diminta mengambil kira keharmonian rakyat dan bekerjasama bagi melancarkan tugas pegawai penguat kuasa memenuhi KPI dalam polisi NKRA negara. 

Pada masa yang sama, Lo berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemilik rumah atau kedai yang mengubah suai dan menambah baik aset milik peribadi dan tidak memenuhi piawaian kelulusan MPP. 

“Sekarang banyak yang sudah semakin banyak duit dan berpendidikan tetapi ia tidak bermaksud anda boleh mengubah suai aset tanpa meminta kelulusan daripada MPP sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. 

“Kita juga perlu mengambil kira keselamatan jiran di dalam kawasan perumahan mahupun rumah kedai agar ia tidak mengancam nyawa orang lain. 

“Misalnya dalam kebakaran baru-baru ini, hanya dua rumah kedai daripada enam yang terselamat akibat pengubahsuaian aset dan pendawaian elektrik,” katanya. 

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan memuji pembayar cukai di bawah tadbiran MPP.

No comments:

Post a Comment