07 February 2014

Ahli majlis diingat jauhi salah guna kuasa

Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Ahli majlis diingat jauhi salah guna kuasa

% 2014-02-06


KUCHING: Ahli majlis diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk mengambil kesempatan melibatkan diri secara langsung dalam sebarang urusan berbentuk perniagaan dengan pihak majlis. 

Sebaliknya, tegas Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh, semua ahli majlis yang dilantik harus tahu tentang tugas dan tanggungjawab masing-masing serta memahami undang-undang kerajaan tempatan serta polisi semasa. 

“Sebagai orang yang telah dipertanggungjawab untuk menjalankan amanah yang diberikan, kita perlu tanamkan dalam diri masing-masing nilai integriti yang tinggi bagi memastikan tidak berlakunya sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang ramai kepada kita,” katanya. 

Beliau menyatakan demikian pada majlis angkat sumpah ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini, semalam. 

Hadir sama Menteri Muda Kesihatan Awam yang juga ADUN Bengoh Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datuk Penguang Manggil, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang dan Setiausaha Perbandaran MPP Michael Saweng. 

Dalam pada itu, Wong berkata ahli majlis juga harus memikirkan tentang masa depan masyarakat dan keperluan mereka terhadap majlis dan kerajaan. 

Sehubungan itu, katanya, ahli majlis hendaklah membantu kerajaan membentuk sebuah masyarakat yang yakin terhadap diri sendiri serta mencintai kerajaan. 

“Kalau ahli majlis mempunyai sikap serta nilai ini, maka tidak mustahil kita berupaya membangunkan MPP dan menjadikan ia sebagai contoh di negeri ini,” katanya. 

Wong turut menyarankan ahli-ahli majlis supaya menunjukkan komitmen, semangat berpasukan dan kerjasama dengan semua pihak yang terlibat agar dapat menyumbang kepada majlis untuk mencapai kecemerlangan. 

Sementara itu, Lo yang turut dilantik semula sebagai Pengerusi berharap agar ahli-ahli MPP dapat memberikan input positif kepada masyarakat di kawasan majlis. 

“Kawasan MPP sekarang berkembang dengan pesat sekali. 

“Maka, keperluan dan kehendak rakyat yang berbagai amat mencabar dan memerlukan pengorbanan kita semua untuk menyahut cabaran ini,” katanya. 

MPP semalam menyaksikan lantikan seramai 31 ahli majlis sesi 2014-2016 berkuat kuasa semalam. 

Kesemua ahli majlis tersebut termasuk Lo telah mengangkat sumpah di hadapan Wong pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat MPP, di sini.


No comments:

Post a Comment