28 August 2022

Perkhidmatan ‘Buggy’ bawa pengunjung bersiar di Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Perkhidmatan ‘Buggy’ bawa pengunjung bersiar di Pusat Hidupan Liar Semenggoh

1. CUBA… Datuk Len Talif (hadapan) bersama para tetamu khas beratur untuk mengambil tiket sebelum menaiki kenderaan ‘Buggy’ untuk melawat ke kawasan Pusat Hidupan Liar Semenggoh

KUCHING: Pusat Hidupan Liar Semenggoh (SWC) memperkenalkan inisiatif baharu dengan menggunakan Perkhidmatan Kereta Kecil Elektrik (EBS) yang bersifat teknologi hijau sebagai tarikan pelancongan terbaharu.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif berkata, usaha ini bagi menyokong kehidupan mesra alam dengan menggabungkan penggunaan kenderaan elektrik sebagai komponen utama yang menyumbang ke arah kelestarian dan pemuliharaan biodiversiti.

Tegasnya, beliau menyambut baik inisiatif Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) dalam menerima cabaran untuk mempraktikkan pengangkutan alternatif hijau dan bersih ini dalam menambah baik kualiti udara dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).

“Inisiatif EBS ini merupakan bukti sokongan dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menuju ke arah teknologi hijau dan mengurangkan pelepasan karbon di kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA).

“Ia sejajar dengan hasrat kita untuk menjadi negeri neutral karbon pada akhir tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran EBS di Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini, hari ini.

Tambahnya, sebanyak 12 lagi kawasan TPA dijangka akan menerapkan projek di bawah EBS dalam usaha pendekatan SFC menyokong pengurangan pelepasan karbon.

Dedahnya, antara lokasi dikenal pasti termasuk Rizab Semula Jadi Sama Jaya, Santuari Hidupan Liar Samunsam, Taman Negara Similaju, dan Taman Negara Gunung Apeng.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton berkata, mana-mana kenderaan persendirian tidak dibenarkan untuk memasuki SWC berkuat kuasa pada 1 September ini.

Tegasnya, pengunjung bagaimanapun diberi kebenaran untuk melawat dengan syarat menggunakan perkhidmatan EBS, berbasikal atau berjalan kaki sahaja.

Bagi yuran perkhidmatan EBS katanya, adalah sebanyak RM180 per sesi bagi sewa persendirian VIP;  RM10 per sesi untuk warga Malaysia dan RM15 per sesi bagi pelancong asing.

“Sebahagian yuran akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Pemuliharaan Hidupan Liar.

“Bagi operasi EBS adalah sesi pertama bermula 7.30 pagi hingga 10.30 pagi manakala sesi petang dari 1.30 petang hingga 4.30 petang.

“Sementara bagi penunggang basikal dan pejalan kaki tidak akan dikenakan bayaran,” ujarnya.

Turut hadir majlis,  Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang Lo Khere Chiang.

2. TERBAIK… Penumpang-penumpang Buggy menunjukkan tiket tumpang EBS sebelum menikmati perjalanan melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh


https://suarasarawak.my/2022/08/perkhidmatan-buggy-bawa-pengunjung-bersiar-di-pusat-hidupan-liar-semenggoh/?fbclid=IwAR2Yc2WUlCwAA8zCCKgeGowwUKwBu6ythPlH9p4siVfaU0Vu2WyXAvoyPb4

No comments:

Post a Comment