09 December 2020

Dr Rundi: Loji Rawatan Air Landeh akan dibina dengan kos RM990 juta

Dr Rundi: Loji Rawatan Air Landeh akan dibina dengan kos RM990 juta

Dr Rundi (dua dari kiri) merasmikan pembukaan injap sesalur 400 mm bekalan air ke Rambungan di Jalan FAC hari ini (9 Dis 2020).

KUCHING, 9 Dis: Kerajaan negeri akan melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Landeh di Padawan dengan kos RM990 juta.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi berkata, ia berikutan permintaan terhadap bekalan air bersih yang semakin meningkat di kawasan Puncak Borneo.

“Puncak Borneo merupakan satu kawasan yang berbukit dan memerlukan tekanan yang lebih tinggi.

“Jadi kita memerlukan kapasiti simpanan air yang lebih supaya dapat membekal air bersih ke kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di Loji Rawatan Air di Batu Kitang hari ini.

Menurut Dr Rundi, sumber air mentah untuk loji baharu itu nanti akan diperolehi dari Empangan Bengoh yang berkemampuan mencapai pengeluaran air sehingga 2,047 juta liter sehari.


Katanya, kaedah mendapatkan sumber air mentah itu akan menggunakan konsep sungai terbuka dan tidak memerlukan pemasangan paip yang memerlukan kos agak tinggi.

“Air akan di rawat di Loji Rawatan Air Landeh sebelum diagihkan untuk kegunaan penduduk Puncak Borneo dan kawasan sekitarnya.

“Sistem yang sama juga akan kita guna pakai di zon yang lain supaya sumber bekalan air bersih sentiasa ada, iaitu samada menggunakan konsep sungai terbuka atau saluran paip,” ujar Dr Rundi.

Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa Loji 2 dan 4 di Batu Kitang masing-masing akan dinaiktaraf dengan kos RM134 juta dan RM100 juta.

Siap kelak katanya, Loji Air Batu Kitang berkemampuan mengeluarkan 1,184 juta liter sehari dan mencukupi untuk kegunaan 900,000 penduduk di seluruh Kuching.

Terdahulu, Dr Rundi telah mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Matang sebelum merasmikan upacara ‘Pembukaan Injap Sesalur 400 mm ke Rambungan Jalan FAC/SMK Agama Matang 2/Politeknik’.

Turut hadir Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang dan Pengurus Besar Lembaga Air Kuching Rodziah Mohamad. — DayakDaily

https://dayakdaily.com/dr-rundi-loji-rawatan-air-landeh-akan-dibina-dengan-kos-rm990-juta/?fbclid=IwAR1bgmeoQMlP1ah8UQctARk_3PsUAf8iSkQn_Ud2481Z60sp69ICbsLSPlg

No comments:

Post a Comment