10 March 2015

Program Pembangunan Masyarakat kukuh hubungan MPP dengan penduduk setempat


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Program Pembangunan Masyarakat kukuh hubungan MPP dengan penduduk setempat

Utusan Borneo Online:  2015-03-10 

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengambil pendekatan dengan menganjurkan Program Pembangunan Masyarakat bagi mengukuhkan hubungan dengan penduduk setempat serta mengenali MPP dengan lebih dekat lagi. 

Pengerusi MPP Lo Khere Chiang berkata, program anjuran bersama Persatuan Masyarakat Jalan Semaba di sini malam kelmarin itu juga bertujuan mempromosikan kerjasama erat bersama pertubuhan atau persatuan di peringkat akar umbi di bawah bidang kuasa majlis tersebut. 

“Justeru, saya berharap penduduk yang tinggal di bawah MPP dapat memberi kerjasama erat dengan pihak kami bagi memastikan perkhidmatan yang kami berikan dapat dinikmati oleh semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina sempena Program Pembangunan Masyarakat di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Semaba, di sini malam kelmarin. 

“Malah saya juga berharap agar masyarakat Cina dapat mengekalkan kerjasama erat dengan kaum lain di negeri ini bagi memastikan semangat perpaduan dan keharmonian sentiasa dipelihara dengan baik,” tambahnya. 

Pada masa sama, Lo mengingatkan agar masyarakat Cina memelihara kebudayaan yang telah lama diamal bagi memastikan generasi baharu tahu akan adat dan budaya tradisional kaum itu. 

Beliau percaya dengan menggekalkan budaya setiap kaum di negeri ini masyarakat berbilang kaum dapat mengenali dan menghormati antara satu sama lain. 

“Saya percaya keharmonian dan perpaduan di negeri ini dapat dikekalkan menerusi perkongsian kebudayaan yang diamalkan oleh pelbagai kaum yang ada di Sarawak,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment