18 November 2014

Terus rapatkan hubungan dengan jiran dan rakan, kata Soon Koh


Halaman Utama (/) » Sarawak (http://www.utusanborneo.com.my/sarawak) » Terus rapatkan hubungan dengan jiran dan rakan, kata Soon Koh

2014-11-17
KUCHING: Masyarakat diseru terus merapatkan lagi hubungan terutama dengan jiran dan rakan bagi menjalin perpaduan lebih besar dalam masyarakat. 
 
Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, bukan mudah untuk mewujudkan persaudaraan di kalangan jiran tetapi boleh menunjukkan keprihatinan terhadap mereka. 

“Maknanya anda bukan sahaja prihatin terhadap mereka yang anda kenali tetapi juga mereka yang anda tidak kenali,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pembangunan Masyarakat anjuran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pihak berkuasa tempatan bagi Siburan, Beratok dan Tapah di sini, malam kelmarin. 

Wong berkata kementeriannya akan turun padang bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif bukan sahaja untuk gaya hidup masyarakat tetapi dengan tujuan lain seperti meningkatkan ekonomi, politik dan sosial untuk semua. 

Melalui program pembangunan masyarakat, beliau berkata rakyat akan lebih bersatu dan ia pastinya membolehkan kementeriannya mewujudkan masyarakat lebih sejahtera dalam hidup mereka. 

“Hanya melalui kebersamaan sosial, mengenali antara satu sama lain kita dapat menjalin perpaduan yang lebih besar di kalangan masyarakat kita, tanpa mengira kaum. 

“Perpaduan seperti ini adalah modal sosial kita untuk melakukan lebih banyak aktiviti ke arah membentuk dan memelihara masyarakat penyayang,” katanya. 

Sementara itu pengerusi pengelola Lee Sin Fah dalam ucapannya memohon dana daripada kementerian untuk menganjurkan program yang sama pada masa akan datang. 

Antara aktiviti yang dianjurkan sempena program berkenaan termasuk pertandingan menyanyi dan permainan bola keranjang. 

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil dan pengerusi MPP Lo Khere Chiang.

No comments:

Post a Comment